Menjelang saingan Piala FA 2022 malam esok yang mempertemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Penang, pastinya ia akan menjadi satu perlawanan tumpuan kerana jurang kekuatan kedua pasukan ini dilihat agak jauh.
Seperti sedia tahu, Penang pada musim ini mengalami masalah konsistensi perlawanan dan antara pasukan berada di kedudukan terbawah carta Liga Super 2022.
Sementara JDT pula, mereka dilihat semakin kukuh musim ini dalam persaingan domestik dan antarabangsa serta sangat tajam di bahagian serangan.
🏆 Aksi separuh akhir Piala FA akan berlangsung pada Jumaat dan Sabtu ini!
Terengganu FC 🆚 Selangor FC
Johor Darul Ta’zim 🆚 Penang FCPasukan manakah akan bertemu di pentas final nanti? 😍#PialaFA2022 pic.twitter.com/WUjhhLm6hs
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 3, 2022
Menurut pemain import baharu JDT iaitu Fernando Forestieri, walaupun sedar akan jurang kekuatan tersebut, beliau enggan mengambil mudah akan cabaran pelawat yang beraksi pada malam esok di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Jelas penyerang lincah tersebut, beliau menyifatkan Penang sebagai ‘the silence killer’ yang dianggap mampu untuk menutup peluang buat JDT melangkah ke peringkat akhir walaupun pelawat kini berada di tangga tercoror carta liga.
Pada pendapat Forestieri, rekod semasa carta liga kini bukan ukuran sebenar buat Penang apabila mereka mampu memberi khabar duka buat JDT sekiranya tuan rumah bermain dengan bersahaja untuk diambil peluang oleh pelawat.
Untuk itu, bekas penyerang Udinese tersebut memasang tekad untuk memberi segala yang terbaik buat pasukannya agar mereka mampu melangkah ke pentas akhir dan cuba untuk menjuarai Piala FA musim ini.
“Selepas menang besar 5-0 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi Liga Super, ia menambah lagi motivasi kepada kami untuk meneruskan rentak kemenangan.
“Kehadiran jurulatih baharu, Hector Bidoglio di dalam skuad JDT beri lebih keyakinan buat kami.
“Aksi seterusnya pasti mencabar buat saya dan rakan sepasukan apabila melayani kunjungan Penang FC pada aksi separuh akhir Piala FA.
“Hanya selangkah lagi untuk ke pentas final namun kami harus berwaspada dengan ancaman pasukan lawan.
“Saingan Piala FA berbeza dengan liga, ia aksi kalah mati dan rentak permainan juga akan lebih agresif kerana kami mahu kemenangan.
“Pasukan lawan juga mahu mengintai peluang menempah slot ke final, jadi ia perlawanan 50-50,” kata Forestieri menerusi Berita Harian.
71' GOL | Tiki taka! Fernando Forestieri menambah gol keempat JDT hasil gerakan serangan menarik ini!@OfficialJohor 4-0 @KLCityFootball #LigaSuper2022 pic.twitter.com/SRECllN5pD
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 1, 2022
Untuk rekod, setakat ini Forestieri telah pun meledak lima gol buat JDT sepanjang aksi dalam saingan Piala FA 2022.
Beliau juga menuntut kepada rakan sepasukan lain agar sentiasa berhati-hati dengan ancaman pasukan lawan yang dilihat turut memiliki pemain berkualiti seperti Hilal El-Helwe dan Adriano.
99' GOL | Hilal El-Helwe menambah gol keempat Penang FC!@OfficialPahang 2-4 @Penang_FC #PialaFA2022 pic.twitter.com/Mg6I3h2Rel
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 23, 2022
“Saya difahamkan kali terakhir JDT muncul juara Piala FA ialah pada musim 2016 dan ini peluang terbaik untuk diri saya membantu JDT melangkah ke final buat kali keempat,” katanya.