Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar menyatakan beliau sudah bersedia untuk berhadapan dengan perang psikologi yang bakal dijelmakan oleh tonggak Perak, Leandro Dos Santos.
Baddrol Bakhtiar dijangka akan terus bermain di posisi tengah pada malam final ini, dan sudah pastinya beliau akan bertarung secara terus dengan Leandro.
Baddrol yang sudah merasai beberapa siri final domestik, menganggap perkara seperti itu menuntut pemain untuk kekal fokus dan mempersiapkan diri sebaiknya, bukan sahaja secara fizikal, malah secara mental.
Bercakap kepada wartawan, juara Piala FA 3 kali – Baddrol Bakhtiar berkata: “Leandro memang terkenal dengan gaya permainan keras dan juga melakukan serangan psikologi ke atas lawannya.”
Menurut Baddrol, Leandro sengaja cuba mengganggu tumpuan pemain lain agar mereka hilang fokus dan ‘tidak berada’ dalam permainan.
Kapten Kedah itu juga menjelaskan bahawa, para pemain Kedah sepatutnya tidak terkejut dengan cara Leandro kerana ini bukan pertama kali mereka berjumpa.
“Bagi saya, itu bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini, pasukan Kedah dan Perak sudah bertemu beberapa kali dalam aksi liga,” jelas beliau lagi.
Baddrol turut menyeru rakan-rakannya yang lain untuk turut mempersiapkan diri secara mental bagi berhadapan dengan Leandro.
Ini kerana, jika hilang fokus, ianya akan memberika impak kepada pasukan. Baddrol menambah: “Saya juga harap pemain lain dapat beraksi seperti biasa dan tidak ‘termakan’ dengan gaya permainan Leandro.”
“Jika beliau cuba mengganggu fokus, anda buat tidak tahu sahaja dengan cara dia dan kita buat macam biasa.”