Terengganu semalam berjaya memenangi aksi pusingan kedua Piala FA dengan keputusan 1-0 mengatasi cabaran pelawat, Kedah Darul Aman (KDA) di laman sendiri.
Dalam perlawanan tersebut, tuan rumah jelas menguasai permainan dah tampil garang untuk menafikan pelawat.
KEPUTUSAN MASA PENUH – FA2
Terengganu FC mara ke suku akhir Piala FA dan akan bertemu Kuching City FC.#PialaFA2022 pic.twitter.com/bCuTBCQMvZ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 6, 2022
Walaupun begitu, KDA sesekali turut mencipta kebangkitan menerusi beberapa siri serangan ke arah kubu lawan.
Lebih menarik, ada beberapa pemain dari kedua pasukan yang berjaya menonjolkan diri dalam perlawanan tersebut untuk diperkatakan.
Faisal Halim
Pemain ini boleh dianggap sangat cemerlang pada perlawanan semalam apabila kelibat beliau jelas memberi huru hara buat pertahanan KDA menerusi kelicikannya.
Tampil dengan larian deras dan skil gelecekan, aksi Faisal banyak digunakan untuk menerjah masuk dari bahagian sisi KDA serta membuat hantaran-hantaran ke dalam petak gol lawan.
Faisal Halim juga menjadi watak penting ketika gol dijaringkan oleh Faiz Nasir apabila hantaran beliau menuju tepat ke kepala pemain tersebut dalam petak penalti.
Petrus Shitembi
Pemain tengah Terengganu ini boleh dianggap sebagai nadi utama pasukan semalam apabila beliau bersama Habib Haroon dan Manuel Ott tenang mengawal ruang tengah sehingga sukar untuk dikuasai KDA.
Pemain ini juga memiliki kelebihan dari segi kreativiti mencipta arah serangan serta mempunyai skil kawalan bola yang baik untuk menarik satu atau dua pemain lawan.
Bersama Habib, pemain ini berjaya membentuk kombinasi di kawasan tengah dengan sangat baik dengan sentiasa menjadi nadi penting pasukan ketika menyerang dan juga bertahan sepanjang 90 minit perlawanan.
Mahmoud Al-Mardi
Biarpun tidak berupaya membantu kelab diwakilinya memenangi perlawanan semalam, kelibat Al-Mardi nyata wajar dipuji dari beberapa segi.
Al-Mardi semalam tampil dengan aksi yang cukup rajin untuk mendapatkan bola dari bawah serta cuba membina serangan buat pasukan menerusi gerakan individu beliau dari bahagian sisi.
Al-Mardi juga mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi situasi sepakan percuma. Namun, rembatan pemain ini dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah.
Kesimpulan
Beberapa pemain lain yang turut wajar dipuji ialah Azam Azmi, Faiz Nasir, Sanrawat Detchmitr, serta beberapa pemain lagi kerana berjaya memberi aksi terpuji baik dari segi individu atau membantu pasukan.
Lebih menarik, aksi penjaga gol kedua pasukan juga wajar dipuji kerana ketangkasan masing-masing untuk menyelamatkan gawang gol dari dibolosi lawan.
Kredit foto: Terengganu