Berapa Tempoh Masa Diperlukan Untuk Pulih Daripada Kecederaan Hamstring?

Ifedayo Olusegun pulih cepat hamstring Melaka United

Mengalami kecederaan ketika bermain bola sepak adalah perkara yang tidak boleh kita elakkan dan kecederaan seperti hamstring boleh sahaja berlaku kepada sesiapa, jadi, bagaimana untuk para pemain segera pulih?

Melihat penyerang Melaka United, Ifedayo Olusegun yang kembali beraksi selepas disahkan mengalami kecederaan hamstring ketika sesi latihan mereka menyebabkan rasa teruja menyelinap ke seluruh jiwa raga penyokong dan pemerhati bola sepak negara. Manakan tidak, dalam tempoh pendek, beliau kembali beraksi.

Sebelum itu, Berita Harian melaporkan Ifedayo tidak dapat diturunkan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) atas faktor beliau merupakan pemain pinjaman dari sana, namun kekusutan timbul apabila tiada sesiapa yang mengetahui hal tersebut sebelum itu. Ia menggemparkan seantero negara apabila ia dilaporkan media.

Ifedayo Tidak Dapat Beraksi Menentang JDT Kerana Status Pinjaman?

Ifedayo berjaya pulih dalam masa yang singkat

Biarpun sudah beberapa kali penafian dibuat tentang laporan yang salah oleh media arus perdana itu dan mereka turut mengubah struktur artikel tersebut selepas mahu disaman oleh Melaka United, kenyataan berikutnya oleh pengendali sementara, Asri Ninggal kembali menghantui para penyokong dan pemerhati.

Ifedayo diturunkan ketika berdepan Selangor FC, tiga hari selepas dilaporkan mengalami kecederaan hamstring. Beliau tidak beraksi ketika skuad Hang Tuah semerlang mengikat JDT di laman sendiri tiga hari sebelumnya.

Jika dilihat kenyataan balas Asri selepas timbul isu, Ifedayo mengalami kecederaan tersebut ketika sesi latihan.

Bila kali terakhir beliau beraksi? Beliau beraksi ketika Melaka United tewas 2-3 kepada Sarawak United pada 25 Jun selama 90 minit. Jadi, besar kemungkinan, penyerang tersebut tercedera di sesi latihan dalam tempoh seminggu sebelum berdepan juara Liga Super lapan musim berturut-turut itu iaitu pada 2 Julai yang lalu.

Dalam masa 10 hari, beliau pulih, turun bermain 90 minit dan meledak dua gol untuk mereka membenam Selangor 2-0 di Stadium Hang Jebat. Bagi penyokong dan pemerhati, rata-rata mereka memuji pegawai perubatan pasukan yang mengembalikan Ifedayo segera ke dalam kesebelasan utama, malah meledak gol.

Mustahil untuk pulih segera daripada hamstring?

Ada pemerhati bola sepak tempatan yang melihat perkara ini sesuatu yang mustahil. Menurut RimauXI di Twitter yang berkongsi artikel daripada FourFourTwo, terpulang kepada kita untuk percaya pakar atau kisah dogeng. Ini kerana, artikel itu menjelaskan kecederaan ringan hamstring memerlukan 10 hari untuk pulih.

Itu baru pemulihan dan selepas pulih selalunya akan ada proses rehabilitasi dan sebagainya. Dari situlah timbul cakap-cakap yang mengatakan betapa hebatnya pegawai perubatan yang Melaka United miliki di kem mereka.

Menurut perkongsian seorang lagi pengguna Twitter, Cikgu (@aweeff), yang aktif bersukan, beliau pernah mengalami kecederaan hamstring dan ia mengambil masa yang lama untuk kembali dapat beraksi walaupun mendapat bantuan dan bimbingan daripada pakar-pakar di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di UiTM.

“Hamstring ni kalau grade 1 pun 2-4 minggu nak ‘recover’, kalau grade 2 ke atas ‘atlest’ 6-8 minggu jugalah. Itu baru ‘recover’ punya program, tak termasuk ‘built up peak fitness’ program yang akan ambil masa lagi lama.”

Perkongsinya menepati intipati artikel FourFourTwo tentang tempoh pemulihan kecederaan hamstring.

Pandangan fisioterapi di UK tentang tempoh pemulihan

Menurut artikel tersebut yang merujuk kepada seorang fisioterapi dari Pusat Kesihatan dan Prestasi Individu, Tom Jackson, tempoh paling singkat pemulihan adalah sekitar 10 hari dan ada yang memakan masa sehingga dua bulan, mengikut kepada tahap kecederaan yang dialami yang dipecahkan mengikut gred kecederaan.

Artikel 442 tentang hamstring
FOTO: RimauXI

Bagaimana untuk mengurangkan kadar berlakunya hamstring? Ia adalah dengan melakukan senaman Nordic Hamstring. Ia boleh bantu mengurangkan sehingga 50 peratus kadar hamstring terjadi. Sebaik pulih, Jackson menyarankan untuk pemain diturunkan secara beransur-ansur agar kecederaan tersebut tidak berlaku semula.

Mungkin Ifedayo mengamalkan senaman tersebut, siapa tahu? Apa pun, barisan pegawai perubatan dan fisio di kem Melaka United wajar menerima pujian atas kejayaan untuk memulihkan hamstring dalam kadar segera.

Disiplin tinggi ketika proses pemulihan juga membantu mempercepatkan tempoh masa pemulihan pemain.

Menurut bekas fisioterapi pasukan PDRM, Liyana Rafiee pula kunci pemulihan daripadanya adalah sifat sabar.

Menurut perkongsiannya lagi, untuk ahli sukan, adakalanya mereka akan cadangkan ‘Prolotherapy injection’ (dextrose) atau selepas ‘subacute’ tempoh radang, doktor akan cadangkan untuk PRP (Platelet Rich Plasma).

Untuk pembacaan lebih mendalam dan lanjut, pembaca boleh ikuti bebenang di Twitter fisioterapis tersebut.

Adakah Ifedayo mengambilnya untuk segera pulih? Mungkin pencerahan dari Melaka United dapat membantu.

Asri turut mendedahkan Ifedayo yang tetap mahu beraksi walaupun tiada dalam perancangan pasukan pada awalnya. Malah, beliau mampu beraksi selama 90 minit selain meledak dua gol penting membenam Selangor.

Leave a Reply