Kedah dijangka tidak berdepan sebarang masalah atau laluan sukar untuk melepasi pusingan pertama dalam saingan Piala FA musim ini apabila juara bertahan tersebut diundi bertemu lawan dari Piala M3, Sains FC semalam.
Ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun 2020, saingan tersebut tidak dapat dianjurkan dan kali terakhir diadakan pada tahun 2019 dengan menyaksikan skuad kendalian Aidil Sharin itu menjuarai kejohanan tersebut dan kekal sehingga kini.
Kedah dilihat sebagai antara pencabar utama bagi saingan ini setelah tampil dengan beberapa perubahan yang positif bagi memantapkan lagi skuad tersebut mencabar mana-mana lawan.
Mereka telah menandatangani beberapa pemain bintang tempatan seperti Al-Hafiz Harun, Amirul Azhan, Azmeer Aris, dan berjaya menandatangani terus pemain pinjaman sebelum ini, Rodney Calvin.
Pasukan ini juga berjaya menandatangani pemain import yang menjadi tonggak musim lalu buat Terengganu, Dechi Marcel untuk memperkukuhkan jentera tengah selain mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Andorra, Marc Vales di bahagian pertahanan.
Lebih menarik, penyerang baharu Kedah yang bakal memberi impak besar buat pasukan iaitu Ronald Ngah Wanja yang merupakan bekas penjaring terbanyak Liga Jordan pada musim lalu bersama kelab Al Salt.
Selain Kedah, beberapa lagi pasukan pilihan seperti Johor Darul Takzim (JDT), Selangor, Sri Pahang, dan Sabah juga dilihat tidak berdepan masalah sulit untuk bertemu lawan di pusingan pertama selepas mereka juga diundi bertemu lawan dari Piala M3.
Walaupun begitu, beberapa pasukan seperti Terengganu mungkin berdepan laluan berliku apabila diundi bertemu juara Liga Premier tahun lalu iaitu Negeri Sembilan yang dilihat bakal memberi cabaran besar buat anak buah Nafuzi Zain sekali gus bakal menjadi perlawanan tumpuan ramai pemerhati bola sepak negara.
Dalam masa sama, satu lagi pasukan dari Liga Super iaitu Petaling Jaya City turut bakal berdepan cabaran getir seawal pusingan pertama Piala FA musim ini apabila diundi bertemu lawan yang cemerlang sepanjang aksi pramusim kali ini iaitu Kelantan dari Liga Premier. Kelab kendalian Rezal Zambery Yahya itu pernah menjulang piala berkenaan pada tahun 2012 dan 2013.
Selain itu tumpuan juga bakal diberi buat dua pasukan dari Liga Premier yang bakal berdepan antara satu sama lain iaitu Kuching City dan UiTM FC untuk menghangatkan pusingan pertama Piala FA musim ini dengan kedua pasukan tersebut dilihat masing-masing cuba untuk memburu slot ke pusingan seterusnya.
Menurut info yang dikeluarkan oleh Harian Metro, pasukan yang berjaya melepasi pusingan pertama saingan tersebut bakal diundi semula mengikut format yang ditetapkan untuk bertemu lawan yang ditentukan. Juara bagi Piala FA ini bakal memperoleh tiket untuk slot saingan AFC pada musim hadapan.