Piala FA 2018: Southern FC Teruskan Hikayat David Menumbangkan Goliath

Ketika pemain-pemain Hanelang FC dan Invictus FC berjalan keluar dari ‘terowong’ menuju ke padang Stadium Panasonic Shah Alam, serta-merta penonton dapat mengecam pasukan mana satu merupakan pasukan amatur dan profesional.

Hanelang yang berjersi serba putih dipimpin oleh Zairo Anuar, bekas maestro tengah Terengganu. Turut ada dalam kesebelasan utama Hanelang pada petang itu adalah bekas pemain Liga Super, Ahmad Azlan, Tuah Iskandar dan bekas penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa.

Fizikal pemain-pemain Hanelang menggambarkan fizikal pemain bola sepak tipikal. Tinggi sedang-sedang. Badan tidak kurus dan tidak gemuk. Otot peha dan kaki jelas kelihatan.

Sementara itu pemain Invictus pula jelas nampak dibarisi pemain amatur. Majoriti pemain-pemain mereka terlalu kurus. Otot kaki penyerang mereka pula boleh dikatakan sama besar dengan otot bisep Ahmad Azlan. Pemain sayap mereka pula lebih tinggi daripada pertahanan tengah.

Sebaik sepak mula dilakukan, jelas Invictus gementar. Dan ianya tak menghairankan. Masakan tidak, selama ini mereka bermain menentang pemain-pemain amatur. Kali ini mereka menentang pemain-pemain profesional yang pernah mereka tengok di TV.

Pemain Hanelang, Shamsul Kamal berjaya memenangi pertarungan bola di udara sambil cuba dicabar kapten Invictus FC, Syukri Mohamad (Kredit: FMLLP)

Baru 2 minit perlawanan berlangsung, Hanelang sudah mendapat gol.

Berpunca daripada kesilapan pemain tengah Invictus yang menyerahkan penguasaan bola sewenang-wenangnya ditambah pula dengan kelemahan fizikal bek kiri mereka, Johan Ariff, Hanelang memanfaatkan peluang ini untuk menjaringkan gol pembukaan hasil jaringan Faizal Abdul Aziz.

Gol ini membuatkan penonton di stadium mula bermain permainan ‘cuba teka berapa gol Invictus akan bolos petang ini?’. Seorang penonton di sebelah penulis yang bermain permainan ini menjawab, “Sepuluh.”

Tetapi kredit kepada Invictus. Selepas gol tersebut, mereka tidak terus layu. Sebaliknya, mereka bangkit melawan. Tempo hantaran-hantaran pendek mereka mula dilajukan sekaligus kerap menghasilkan gerakan-gerakan bahaya terutamanya di tengah – sehinggakan mendapat pujian 150 penonton di stadium.

Sehingga minit ke-40, Invictus paling banyak mencipta peluang berbanding Hanelang. Tetapi ketika inilah, kekurangan stamina dan fizikal pemain Invictus mula menjadi musuh mereka. Akhirnya mereka tidak lagi mampu bermain hantaran-hantaran pendek seperti yang dipamerkan pada 40 minit pertama perlawanan.

Invictus kemudiannya layu. Mereka mula bermain hantaran-hantaran jauh. Pemain-pemain mereka mula mencari jalan pintas. Satu demi satu pemain terbaring kerana kejang otot dan kecederaaan. Hanelang pula semakin lama semakin galak berlari dan menyerang. Tuah Iskandar misalnya, masih galak membuat larian overlapping selewat minit ke-90.

Hanelang menggunakan kelebihan ini untuk menambah 2 lagi gol menerusi jaringan Zairo Anuar dan Saiful Nizam Abdullah. Di akhir perlawanan, Invictus pastinya lega mereka tidak bolos dengan jumlah jaringan yang lebih memalukan.

Kekalahan Invictus ini sememangnya sudah dijangkakan. Bukan senang untuk David menumbangkan Goliath. Kelebihan fizikal yang dimiliki oleh pemain profesional sememangnya bakal memberikan kelebihan mengatasi pemain amatur.

Tetapi sejarah mengajar kita bahawa apabila Goliath tidak berhati-hati, ia boleh tumbang kepada David. Inilah yang berlaku kepada pasukan Piala FAM, Selangor United di Stadium Penjara, Kajang apabila tewas 1-2 kepada Southern FC.

Southern FC mungkin mempunyai kepercayaan ‘the less we train, the better we play’, tetapi mereka tetap berbahaya.

Aset utama pasukan Klang ini adalah kekuatan mental pemain-pemain yang diterapkan oleh pengurus mereka, Gan Chee Lim. Inilah kekuatan yang ditonjolkan oleh mereka semalam. Ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama hasil jaringan kapten Selangor United, Yusaini Hafiz, Southern bangkit pada separuh masa kedua menerusi 2 gol jaringan Sharul Afif.

Penyerang Southern FC, Sharul Afif memerhatikan rembatan beliau menerjah gol ketika menentang Selangor United. (Kredit: FMLLP)

Kemenangan Southern FC ini membakar semangat dua rakan seperjuangan mereka ketika di Selangor Champions League, Axis O2 FC dan PIB FC yang beraksi 2 jam 30 minit selepas itu.

PIB yang terpaksa menulis surat memohon perlepasan kerja untuk 23 pemain mereka yang berkunjung ke Stadium Temerloh untuk menentang Shahzan Muda FC bermula dengan baik pada separuh masa pertama. Pasukan Shah Alam ini berjaya mengikat pasukan Piala FAM ini 0-0.

Axis O2 yang berdepan dengan tugas lebih mudah daripada PIB, iaitu menentang pasukan amatur dari Liga Amanjaya Perak, SRCC Kuala Kangsar, tidak melakukan sebarang kesilapan untuk mendahului 2-0 pada separuh masa pertama. Gol dijaringkan oleh Adli Zulgafli dan Aidil Shahril menerusi dua situasi sepakan sudut.

Penyerang Axis O2 FC, Aidil Shahril meraikan jaringan beliau bersama Ahmad Shafeez ketika menewaskan SRCC Kuala Kangsar dalam aksi pusingan pertama Piala FA 2018 (Kredit: FMLLP)

Secara keseluruhannya, Axis O2 tidak berdepan dengan banyak masalah untuk menangani cabaran SRCC Kuala Kangsar di Arena MPSJ, Subang Jaya. Mereka jelas mempunyai pemain yang lebih berkualiti. Cuma aspek kecergasan mereka perlu diperbaiki lagi.

Tamat 90 minit, Axis O2 menang 4-1. Biarpun kapten SRCC Kuala Kangsar, Meor Khorul Nazri berjaya merapatkan kedudukan menerusi gol minit ke-80, ia masih tidak dapat memadam kelebihan gol yang ditambah Axis O2 menerusi jaringan Haedar Abdul Halim dan Muhd Farhan.

Sementara itu di Temerloh, PIB gagal menangani kebangkitan Shahzan Muda pada separuh masa kedua untuk tewas 0-3.

Rangkuman keputusan perlawanan pusingan pertama Piala FA 2018

Posted by Football Malaysia LLP on Tuesday, February 13, 2018

Jadual perlawanan pusingan kedua Piala FA 2018

JADUAL PERLAWANAN PUSINGAN KEDUA PIALA FA MALAYSIA 2018

#PialaFA
#FootballMalaysia
#TransformingMalaysianFootball

Posted by Football Malaysia LLP on Tuesday, February 13, 2018

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN