Sepanyol menghadapi cabaran dari tuan rumah Rusia untuk memburu tiket ke suku akhir Piala Dunia 2018.
Juara dunia 2010 ini bermain dengan cara tipikal mereka apabila menguasai kebanyakkan penguasaan bola untuk membuatkan Rusia hanya menguasai bola dengan begitu terhad.
Sepanyol berjaya memperoleh gol pertama menerusi jaringan sendiri Sergey Ignashevich selepas bola terkena kakinya ketika sedang bergelut dengan Sergio Ramos dalam situasi sepakan percuma.
Bola yang dihantar oleh Marco Asensio itu terkena kaki beliau dan menerjah masuk ke gawang sendiri.
Perlawanan ini menyaksikan Sepanyol tidak melakukan hantaran-hantaran penting yang mendorong kepada jaringan. Sebaliknya mereka hanya bertukar-tukar hantaran sesama sendiri tanpa cuba untuk mengancam Rusia.
Rusia berjaya menyamakan kedudukan menerusi Artem Dzyuba selepas beliau menyempurnakan sepakan penalti.
Penalti itu diberikan selepas bola terkena Gerard Pique dan pengadil memberikan sepakan penalti untuk tuan rumah.
Separuh masa kedua menyaksikan Sepanyol masih lagi menguasai bola namun mereka tidak mengancam pintu gol Rusia.
Perlawanan jelas dikawal oleh Sepanyol dengan sekali-sekala Rusia datang mengancam pintu gol mereka.
Pemain gantian, Andres Iniesta memberikan sinar harapan di penghujung perlawanan apabila rembatan beliau dari luar kotak penalti ditepis oleh Igor Akinfeev.
Perlawanan berakhir dengan 1-1 selepas 90 minit permainan, dan masa tambahan diperlukan untuk mencari pemenang.
Di masa tambahan, Sepanyol mula berani melakukan pelbagai combination play untuk mencari gol.
Namun begitu, mereka masih lagi buntu untuk mencari gol untuk mengesahkan kemenangan.
Rodrigo bijak melakukan satu pusingan untuk melarikan diri dari kawalan pertahanan Rusia, namun percubaan beliau terus ke arah Akinfeev.
Sepanyol dan Rusia gagal mencari gol kedua dalam perlawanan ini, dan mereka terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti.
Berikut merupakan hasil sepakan penalti antara kedua-dua pasukan:
- Andres Iniesta (Sepanyol) – masuk
- Fedor Smolov (Rusia) – masuk
- Gerard Pique (Sepanyol) – masuk
- Sergey Ignashevich (Rusia) – masuk
- Koke (Sepanyol) – tak masuk
- Aleksandr Golovin (Rusia) – masuk
- Sergio Ramos (Sepanyol) – masuk
- Denis Cheryshev (Rusia) – masuk
- Iago Aspas (Sepanyol) – tak masuk
Keputusan penuh, Sepanyol 1-1 Rusia. Rusia menang dengan sepakan penalti 4-3.