Aksi Piala Dunia 2018 di antara Brazil dan juga Costa Rica diadakan dengan kedua-dua pasukan beraksi dengan rentak sederhana dalam usaha mencari gol.
Brazil jelas merupakan pasukan yang lebih dominan dalam perlawanan ini dengan menguasai sebahagian besar penguasaan bola serta percubaan ke arah gol.
Brazil mempunyai peluang paling hampir untuk menjaringkan gol menerusi Gabriel Jesus, namun gol beliau pada minit ke-26 dibatalkan kerana beliau berada dalam kedudukan ofsaid.
Seminit kemudian, Neymar mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun beliau tidak mampu menewaskan Keylor Navas dalam situasi 1 lawan 1.
Marcelo merupakan pemain yang aktif dalam melakukan percubaan dengan beliau kerap melakukan rembatan dari luar kotak namun semuanya tidak menepati sasaran.
Brazil banyak mengancam dari sebelah kiri dengan Neymar, Marcelo dan Philippe Coutinho banyak melakukan gerakan berbahaya.
Sementara Costa Rica hanya sekali sekala melakukan gerak ke gol Brazil.
Separuh masa kedua menyaksikan Brazil menaikkan tempo mereka untuk menjaringkan gol.
Brazil mempunyai 2 peluang berturut-turut di awal separuh masa kedua menerusi tandukan Jesus yang terkena palang dan rembatan susulan Neymar dihalang oleh pertahanan Costa Rica.
Keylor Navas terus menyusahkan kehidupan para pemain Brazil apabila menafikan rembatan kali pertama Neymar dan menangkap kemas percubaan Coutinho.
Selain itu, beliau turut menafikan tandukan Casemiro dari situasi sepakan penjuru.
Brazil memperoleh sepakan penalti selepas Neymar dijatuhkan.
Namun dengan rujukan semula sistem Video Assistant Referee (VAR), pengadil menarik balik keputusan tersebut.
Usaha keras Brazil akhirnya dibayar dengan jaringan gol apabila Coutinho merembat masuk bola pada minit ke-90+1 apabila melepasi celah kelengkang Navas.
Kemenangan Brazil kemudiannya disahkan dengan jaringan Neymar pada minit ke-90+7 untuk menghantar Costa Rica pulang.
Secara keseluruhannya, Navas beraksi cemerlang untuk Costa Rica namun kelekaan minit akhir telah menguhukum mereka.
Keputusan penuh, Brazil 2-0 Costa Rica.