Juara bertahan Manchester City bernasib baik kerana berjaya meloloskan diri ke separuh akhir Piala Carabao selepas menewaskan Leicester City 3-1 melalui pentuan sepakan penalti.
Masa sebenar perlawanan yang berlangsung di Stadium King Power menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Guardiola menunjukkan betapa pertandingan ini amat penting buat City apabila menurunkan beberapa nama besar seperti Sergio Aguero, Kevin de Bruyne dan Kyle Walker. Antara pemain muda yang turut berada di dalam senarai kesebelasan utama ialah Phil Foden, Eric Garcia dan juga Brahim Diaz.
Skuad kendalian Guardiola mendahului perlawanan melalui Kevin de Bruyne pada minit ke-14 perlawanan. Ia adalah gol pertama De Bruyne untuk musim ini -selepas beberapa kali bergelut dengan kecederaan sejak tamat kejohanan Piala Dunia yang lalu.
Leicester tidak beraksi dengan baik pada babak pertama, tetapi mulai menunjukkan karakter pada separuh masa kedua, sebelum berjaya menyamakan kedudukan melalui Marc Albrighton pada minit ke-73 perlawanan.
Riyad Mahrez turut berpeluang menjaringkan gol menentang bekas kelab beliau melalui dua percubaan – namun kedua-dua percubaan tersebut sedikit sahaja tersasar dari pintu gawang Leicester City.
Tanpa kualiti yang diperlukan di penentuan sepakan penalti, menyaksikan Leicester gagal memanfaatkan tiga sepakan. Raheem Sterling turut gagal memanfaatkan penalti beliau, namun Oleksandr Zinchenko tampil untuk memastikan kemaraan Manchester City selepas itu.