Ia adalah kisah berbeza buat dua kelab Manchester dalam pertandingan Piala Carabao pada awal pagi tadi. Tatkala Manchester City mudah melangkah ke peringkat seterusnya dengan menewaskan Oxford United 3-0, Manchester United tersungkur melalui penentuan sepakan penalti di Old TRafford.
Phil Foden menjelaskan mengapa beliau seharusnya diberikan perhatian lebih kerap oleh Guardiola pada musim ini. Pemain berusia 18 tahun itu beraksi cemerlang, dan menjaringkan gol sulung di peringkat senior untuk City.
Guardiola melakukan 10 pertukaran kepada pasukannya yang menewaskan Cardiff City pada hujung minggu lalu. Namun nilai pemain yang berada di bangku pemain simpanan saja mencecah £256 juta.
Tetapi ia memadai untuk City yang masih menang mudah dalam perlawanan ini.
Tandukan jarak dekat Gabriel Jesus memberikan City pendahuluan pada babak pertama perlawanan, dan jumlah jaringan menjadi semakin realistik buat City selepas itu tatkala pemain Oxford mulai keletihan.
Foden yang membantu gol pembukaan oleh Jesus, kali ini menghasilkan bantuan gol untuk Riyad Mahrez melebarkan kedudukan.
Foden kemudiannya melengkapkan kemenangan 3-0 Manchester City dengan rembatan leret pada babak akhir perlawanan.
Di Old Trafford, kisahnya berbeza sekali.
Derby County kendalian Frank Lampard menewaskan Manchester United 8-7 melalui penentuan sepakan penalti untuk mara ke pusingan keempat.
Selepas 15 minit penentuan sepakan penalti berlangsung dengan jayanya, penjaga gol Derby, Scott Carson menjadi wira apabila menyelamatkan percubaan Phil Jones.
Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan dipenuhi dengan insiden. United bermula dengan baik apabila mendahului seawal minit ke-3 perlawanan.
Namun penyerang Liverpool yang beraksi bersama Derby secara pinjaman menyamakan kedudukan selepas menyempurnakan sepakan percuma dari jarak 30 meter.
Penjaga gol Manchester United, Sergio Romero kemudiannya dilayangkan kad merah kerana kesalahan memegang bola di luar kawasan penalti, sebelum Jack Marriot meletakkan Derby di hadapan pada minit ke-86.
Enggan menyerah kalah, Marouane Fellaini menjaringkan gol penyamaan untuk United di masa kecederaan, untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Senario di Old Trafford berakhir dengan Frank Lampard yang beraksi di bawah kendalian Jose Mourinho ketika bersama Chelsea meraikan kemenangan tersebut bersama pemain-pemainnya di hadapan 3000 penyokong mereka yang hadir.