Juara bertahan, Manchester City menunjukkan jalan keluar buat musuh tradisi, Manchester United dalam saingan Piala Carabao 2020/21 selepas mencatatkan kemenangan 2-0 di Old Trafford sekali gus layak ke perlawanan akhir buat kali keempat berturut-turut.
Beraksi tanpa Ederson Moraes, Bernardo Silva dan Ferran Torres serta beberapa pemain utama seperti Kyle Walker, Benjamin Mendy, Rodri, Gabriel Jesus dan Sergio Aguero yang hanya diletakkan di bangku simpanan, ia tidak langsung menganggu rentak skuad bimbingan Pep Guardiola itu.
Selain daripada berjaya mendapatkan dua jaringan pada babak kedua, The Cityzens juga kelihatan lebih mendominasi penguasaan bola sebaik sahaja perlawanan dimulakan oleh pengadil bertugas, Martin Atkinson.
Aksi pada separuh masa pertama menyaksikan terdapat tiga jaringan yang dibatalkan susulan keadaan ofsaid di mana melibatkan gol sendiri John Stones pada minit kedua, jaringan Ilkay Gundogan berselang dua minit kemudian serta Phil Foden ketika perlawanan memasuki minit ke-24.
Selain itu terdapat dua percubaan menarik dihasilkan apabila percubaan ‘placing’ menarik dari Bruno Fernandes dari luar kawasan penalti pada minit kelapan berjaya ditepis keluar penjaga gol, Zack Steffen dan rembatan daripada Kevin De Bruyne pula sekadar terkena tiang gol ketika Dean Henderson sudah pun tertewas.
Jaringan yang ditunggu-tunggu pasukan pelawat menjelma pada minit ke-50 apabila John Stones tidak berdepan masalah untuk menolak masuk bola hasil hantaran lintang menerusi sepakan percuma dilakukan Foden bagi memisahkan kedudukan.
Susulan jaringan tersebut, Manchester City terus garang bagi memburu jaringan kedua tetapi dua peluang terbaik dimiliki oleh Raheem Sterling dan Riyad Mahrez berjaya dinafikan dengan cemerlang Henderson bagi menggagalkan usaha tersebut.
Fernandinho mematikan api perjuangan Manchester United untuk kembali bangkit setelah percubaan volinya dari luar kawasan penalti hanya mampu dipandang Henderson untuk jaringan kedua pada minit ke-79.
Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan dan mengesahkan perlawanan akhir yang bakal berlangsung pada 25 April di Wembley nanti akan menemukan Manchester City dan Tottenham Hotspur.
City yang sudah memenangi tujuh trofi Piala Carabao [Piala Liga], hanya memerlukan satu kejuaraan sahaja lagi bagi menyamai pencapaian pemenang terbanyak, Liverpool.
Kredit featured image: Shaun Botterill/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Manchester City:
Messi, Ronaldo Bakal Disatukan Di Manchester City Musim Depan?