Ferran Torres: Kenali Pemain Sayap Baharu Manchester City

Ferran Torres Manchester City

Manchester City telah melengkapkan pembelian pemain sayap, Ferran Torres dari kelab La Liga, Valencia selepas bersetuju dengan yuran perpindahan sebanyak £20.8 juta (RM114 juta) termasuk bonus tambahan.

Pemain muda Sepanyol itu menandatangani kontrak selama lima tahun dan menjadi pemain pertama yang ditandatangani oleh Pep Guardiola untuk jendela perpindahan muim panas ini.

Torres yang merupakan produk akademi Valencia menjaringkan enam gol daripada 44 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini dan membantu Valencia menamatkan saingan liga di tangga ke sembilan.

Beliau dianggap prospek muda terbaik untuk skuad kebangsaan Sepanyol pada masa hadapan, namun Valencia terpaksa menjualnya bagi menampung kewangan pasukan yang terkesan dengan krisis pandemik yang melanda.

“Saya sangat gembira dapat menyertai City. Setiap pemain mengimpikan untuk beraksi bersama pasukan yang beraksi dengan corak menyerang dalam dunia bola sepak moden hari ini.

“Pep [Guardiola] merupakan antara faktor utama, saya memang gemarkan corak pemainan terbuka dan agresif dan sebagai pengurus, rekodnya telah membuktikan beliau mampu meningkatkan kualiti pemain. Untuk memilikinya sebagai pembimbing pembangunan diri saya merupakan satu impian.

“City telah pun memenangi pelbagai kejuaraaan dalam tempoh 10 tahun ini dan saya harap saya boleh memainkan peranan yang penting untuk meneruskan kejayaan ini.”

Torres membuat debut bersama pasukan senior ketika berusia 17 tahun pada November 2017 sewaktu pasukannya berdepan Real Zaragoza dalam saingan Copa del Rey dengan masuk menggantikan Nacho Gil dan membuat debut La Liga beberapa minggu selepas itu.

Pada usia 20 tahun, beliau telah pun membuat 100 penampilan bersama skuad utama Valencia termasuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Posisinya selaku penyerang sayap tulen jelas merupakan pengganti kepada Leroy Sane yang sudah berhijrah ke Bayern Munich tempoh hari.

Namun persoalannya dalah beliau mampu bersaing dengan beberapa pemain sayap lain seperti Riyad Mahrez, Raheem Sterling dan Bernardo Silva bagi merebut kesebelasan utama di Etihad?

Kredit Foto: Manchester City

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Manchester City:

Leave a Reply