Terengganu FC II (TFC II) menganggap saingan Challenge Cup musim ini dijangka lebih mencabar jika dibandingkan laluan wakil Pantai Timur itu ketika menjadi juara edisi pertama tahun lalu.
Itulah yang diakui kapten TFC II, Hasbullah Awang selepas menyaksikan skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hassan diundi bersama finalis tahun lalu UKM FC, Selangor United dan Kuala Lumpur dalam saingan Kumpulan B.
Pemain pertahanan berusia 36 tahun itu berkata, kehadiran pasukan-pasukan baharu seperti Kuala Lumpur dan Selangor United memberikan lagi cabaran buat TFC II dalam usaha mempertahankan trofi Challenge Cup.
Hasbullah turut menyifatkan pasukan yang memiliki kualiti Liga Super seperti Kuala Lumpur dijangka akan menjadi pasukan pilihan.
Bagaimanapun, Hasbullah menegaskan pasukannya tidak gentar untuk mengharungi setiap rintangan dan memberikan amaran bahawa TFC II telah bersedia berjuang habis-habisan bagi memastikan trofi Challenge Cup kekal di bumi Terengganu.
“Kejohanan kali ini sangat mencabar jika dibandingkan pada musim lalu kerana ada pasukan baharu membuat penampilan seperti Kuala Lumpur dan Selangor United.
“Tidak lupa juga kepada UKM FC dan walaupun kami telah banyak kali bertemu dengan UKM FC tetapi saya meramalkan UKM FC akan berjuang habis-habisan dalam kejohanan ini.”
”Saya berharap TFC II dapat memberikan yang terbaik untuk mengekalkan trofi Challenge Cup,” katanya.
Kejohanan Challenge Cup 2019 akan bermula pada 6, 7 dan 8 Ogos disusuli dua aksi final yang bakal diadakan pada 6 dan 12 Oktober depan.
Kredit foto: Terengganu FC II