Ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan mengakui anak buahnya mempamerkan aksi tidak seperti diharapkan pada pertemuan menentang UKM FC, malam tadi.
Lebih perit untuk diterima pengendali berusia 42 tahun itu adalah kelebihan dua jaringan pada babak pertama gagal dipertahankan anak buahnya.
Bruno Suzuki dan Dechi Marcel meletakkan Terengganu FC II dihadapan pada minit ke-22 dan 31 tetapi UKM FC kembali memperkemaskan aksi pada 45 minit terakhir bagi mengikat kedudukan 2-2 menerusi jaringan Milad Zanidpour dan Faiz Hanif (minit ke-56 dan 88)
”Bagi saya hari ini (malam tadi) kita bermain tidak seperti yang kita harapkan. Yang paling ketara adalah bahagian sayap, maknanya tidak berfungsi dari awal.”
”Kalau sebelum ini kita tengok banyak pilihan yang boleh kita cipta dan hari ini separuh masa pertama dan kedua memang keseluruhannya kita tak boleh untuk mendominasi kedua-dua belah sayap. Itu yang saya nampak.”
Ketika ditanya mengenai adakah kelebihan dua jaringan itu membuatkan anak buahnya sedikit lalai, ini respon daripada Tengku Hazman:
”Mungkin tidak kerana saya nampak pada separuh masa kedua kita masih mempunyai empat peluang yang terbuka.”
”Saya rasa kalau kita dapat menggunakan kesempatan salah satu daripada peluang itu, malam ini kita akan dapat ‘membunuh perlawanan’.”
”Titik perubahan perlawanan ini adalah pada jaringan pertama mereka (UKM FC). Ketiadaan Muhammad Ridzuan Razali juga kelihatan agak ketara.”
”Setiap posisi kelihatan kita tidak bermain seperti biasa. (N’Guessan Dechi) Marcel juga tidak berfungsi dengan baik hari ini. Jadi, kita nampak terganggu di setiap posisi.”
Sebagai rekod, Terengganu FC II merupakan juara bertahan saingan Piala Cabaran selepas berjaya menundukkan UKM FC 4-2 pada musim lalu.
Kredit foto: Terengganu FC II