Terengganu FC II (TFC II) mempunyai peluang yang cerah untuk sebagai juara sulung Piala Cabaran 2018 apabila mereka mengikat UKM FC 2-2 dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Shah Alam, malam semalam.
Skuad kendalian bekas pemain skuad kebangsaan, Tengku Hazman Raja Hassan itu mempunyai kelebihan beraksi di halaman sendiri dengan bekalan 2 gol di tempat lawan dan mereka perlu menang dengan sekurang-kuangnya 1-0 untuk dinobatkan sebagai juara.
Dalam perlawanan semalam, UKM mempamerkan penguasaan 60 peratus dan kedua-dua pasukan kelihatan berhati-hati kerana perlawanan berlangsung di atas keadaan padang becak akibat hujan lebat.
TFC II terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi lambungan cantik Sharin Sapien yang gagal dijangkau penjaga gol UKM, Nor Haziq Mohd Aris pada minit ke-31.
Tersentak dengan jaringan itu, kedudukan kembali seimbang apabila penyerang UKM FC, Michael Ijezie menghukum kealpaan benteng pelawat apabil dengan tenang menyudahkan tolakan yang melalui celah kaki penjaga gol TFC II pada minit ke-36.
UKM terus mengatur asakan dalam babak berikutnya dan memimpin permainan selepas usaha pemain import TFC II dari Haiti, Sebastien Thuriere, untuk mengeluarkan bola dari kawasan penalti berakhir ke gawang sendiri.
Situasi itu, bagaimanapun, tidak mematahkan semangat TFC II apabila bangkit menyamakan kedudukan. Pemain tengah TFC II, Zuasyraf Zulkiefle, bijak mencari posisi terbaik untuk menerpa hantaran di depan pintu gol itu untuk mengikat kedudukan 2-2.
Walaubagaimanapun, Tengku Hazman tetap bersyukur dengan keputusan seri tersebut dan mahu pemainnya bangkit pada perlawanan akhir kedua di Kuala Terengganu nanti.
“Kami sememangnya merancang sebegini untuk perlawanan ini disebabkan kecederaan yang melanda tonggak utama kami di bahagian tengah.
“Oleh itu, kami perlu bertahan sebagai sebuah pasukan,” kata Tengku Hazman seperti dipetik dalam Stadium Astro.
Bagi Jurulatih UKM, Sulaiman Hussein, beliau akan memastikan pemainnya lebih bersedia walaupun sedar kelebihan lebih memihak kepada Terengganu FC II.
“Ini satu perlawanan yang seimbang. Walaupun TFC II mempunyai kelebihan gol di tempat lawan, kami akan menyambung aksi di Kuala Terengganu nanti.
“Dengan padang yang becak, ia sedikit mengganggu rentak kami.
“Namun, itu bukan alasan. Kami akan membuat persiapan untuk bertandang ke Kuala Terengganu dan akan buat yang terbaik di sana nanti.”