Tiga perlawanan Piala Asia 2019 berlangsung semalam – membabitkan China bertemu Republik Kyrgytz dan Korea Selatan berhadapan wakil Asia Tenggara di Kumpulan C.
Satu lagi perlawanan menyaksikan Iran pimpinan Carlos Queiroz berhadapan dengan cabaran Yemen di saingan Kumpulan D.
China bangkit elak dimalukan
China mengutip tiga mata penuh dari perlawanan pembukaan Kumpulan C apabila bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Republik Kyrgyz 2-1 di Stadium Khalifa Bin Zayed.
Jaringan Akhlidin Israilov mengejutkan skuad kendalian Marcelo Lippi tiga minit sebelum berakhir babak pertama perlawanan.
Namun jaringan sendiri oleh penjaga gol Republik Kyrgyz, Pavel Matiash diikuti oleh penyudah Yu Dabao memberikan tiga mata berharga buat China yang turun beraksi tanpa kapten pasukan Zheng Zi akibat pergantungan.
Filipina gagal kekang Korea Selatan
Filipina mungkin melakukan penampilan pertama mereka di kejohanan Piala Asia. Namun wakil dari Asia Tenggara ini jelas tahu apa yang perlu mereka lakukan untuk mengecewakan lawan.
Di bawah bimbingan jurulatih dari Sweden, Sven Goran-Eriksen, Filipina sedar Korea Selatan adalah pasukan yang lebih baik dari mereka. Kerana itu mereka memilih untuk bertahan sepanjan perlawanan, dan hanya melakukan serangan melalui serangan balas pantas.
Namun demikian Korea Selatan jelas merupakan pasukan yang lebih bersedia dan pengalaman dalam kejohanan serantau apabila jaringan tunggal perlawanan, Hwang Ui-Jo pada minit ke-67 perlawanan cukup untuk memastikan tiga mata penuh buat pasukan pilihan itu.
Iran cemerlang belasah Yemen
Carlos Queiroz pantas membidas pengkritiknya selepas menyaksikan pasukan bimbingan beliau membelasah Yemen 5-0 pada awal pagi tadi untuk tiga mata bergaya di Kumpulan D.
Mehdi Taremi meledakkan dua gol untuk juara Piala Asia tiga kali itu – yang turut berjaya melayakkan diri ke suku akhir pada kejohanan sebelumnya di Australia.
Mehdi meletakkan Iran di hadapan seawal minit ke-12, sebelum Ashkan Dejagah menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-23 perlawanan. Mehdi sekali lagi menghukum Yemen dengan jaringan peribadi keduanya selang dua minit kemudian untuk babak pertama berakhir dengan kedudukan 3-0.
Babak kedua terus menyaksikan penguasaan Iran, dengan dua lagi gol sumbangan Sardar Azmoun dan juga Samman Ghoddos untuk melengkapkan kemenangan bergaya 5-0.