Qatar menewaskan pasukan tuan rumah, UAE 4-0 untuk mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir Piala Asia 2019. Perlawanan tersebut bagaimanapun dicemari oleh tindakan segelintir penyokong UAE yang membaling kasut ke arah pemain Qatar.
Pasukan pelawat menjadi sasaran balingan botol dan kasut ketika meraikan jaringan oleh penyokong tuan rumah UAE dalam perlawanan yang diadakan di Abu Dhabi itu.
Perlawanan turut dicemari dengan laungan ‘boo’ ketika lagu kebangsaan Qatar dimainkan sebelum perlawanan akibat ketegangan politik membabitkan kedua-dua negara.
Sumber BBC berkata ini berikutan beberapa negara Arab termasuk UAE memutuskan hubungan dengan Qatar, dan menuduh negara tersebut telah menyumbang kepada keganasan.
“Ia bukan situasi yang mudah,” ujar jurulatih Qatar, Felix Sanchez.
“Pemain sedar akan hal itu dan akan berhadapan dengan tekanan, namun mereka berjaya mengawal emosi dengan baik. Untuk itu, saya amat bangga dengan mereka.”
Boualem Khoukhi meletakkan Qatar di hadapan seawal minit ke-8 sebelum tuan rumah Piala Dunia 2022 itu menggandakan pendahuluan melalui Almoez Ali pada separuh masa pertama.
Hassan Al-Haydos dan Hamid Ismail kemudian menambah dua lagi gol pada babak kedua perlawanan untuk Qatar mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir pertama mereka di kejohanan ini.
Qatar akan berhadapan dengan Jepun di perlawanan akhir pada Jumaat akan datang.