Saingan Piala Asia bawah 23 (B-23) tampil dengan kejutan yang sangat tidak disangka pada edisi kali ini, selepas Indonesia secara tiba-tiba tampil mencuri tumpuan ramai pemerhati bola sepak antarabangsa.
Apa tidaknya, buat pertama kali Sang Garuda berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir selepas kejayaan mereka menewaskan Korea Selatan B-23 di pentas separuh akhir kejohanan tersebut di Stadium Abdullah Bin Khalifa, Qatar.
Pada aksi tersebut, Indonesia berhasil meraih slot ke separuh akhir apabila mereka mencatat kemenangan pada penentuan penalti menerusi keputusan 11-10 selepas masing-masing terikat 2-2 pada aksi sebenar.
Dua gol Indonesia diperoleh menerusi sumbangan pemain muda warisan mereka iaitu Rafael Struick, sementara Korea Selatan memperoleh jaringan hasil ledakan sendiri Komang Teguh serta Jeong Sang-bin.
Sepanjang aksi berlangsung, Indonesia jelas tidak mempamerkan sebarang rasa gugup untuk berhadapan lawan dengan mereka lebih banyak menguasai permainan berbanding pasukan gergasi Asia tersebut.
Menerusi statistik, penguasaan juga jelas menjadi milik skuad kendalian Shin Tae-yong apabila Sang Garuda menguasai sebanyak 53 peratus dan lawan 47 peratus sahaja.
Apa lebih menarik, barisan serangan Sang Garuda juga tampak berbisa menerusi lima percubaan berbahaya berjaya dilakukan mereka jika dibandingkan Korea Selatan.
Keputusan tersebut turut menyaksikan Indonesia kini sudah pun selangkah untuk ke pentas saingan Olimpik di Paris pada pertengahan tahun nanti.
Korea Selatan yang tampil selaku pasukan pilihan untuk mara ke pentas separuh akhir terpaksa menerima hakikat keputusan itu dengan rekod bersih 40 tahun mereka ke pentas Olimpik lebur kepada Indonesia.
Rekod sebelum itu menyaksikan Korea Selatan tidak pernah terlepas mendapatkan slot ke saingan Olimpik sejak tahun 1984 lagi dengan sangat konsisten.
Malah, beberapa kejayaan juga pernah dilakar pasukan tersebut sepanjang dalam kejohanan tersebut untuk menjadikan Korea Selatan selaku salah satu kuasa besar dalam acara bola sepak.
Tradisi mereka untuk sentiasa melayakkan diri ke pentas Olimpik itu akhirnya dihancurkan oleh Indonesia dan sudah tentu akan tercatat dalam sejarah bola sepak negara tersebut dalam kalangan peminat bola sepak di sana.
Pada masa sama, Indonesia hanya pernah beraksi sekali dalam saingan tersebut pada tahun 1956 ketika ianya berlangsung di Melbourne, Australia dan pastinya sejarah baharu akan dilakar jika Sang Garuda mampu meraih slot tersebut pada aksi separuh akhir akan datang.