Malaysia mengakhiri perjuangan Piala Asia B-23 di Tashkent, Uzbekistan dengan tewas 0-2 kepada Vietnam dalam perlawanan terakhir Kumpulan C yang menyaksikan tiada mata mampu dibawa pulang dalam tiga aksi.
Malaysia turun dengan rombakan besar tetapi masih mengekalkan formasi 3-4-3 dengan gandingan baharu diletakkan di jentera depan. Aiman Afif buat kali pertama diperkenalkan sebagai penyerang utama dibantu Azfar Fikri dan Mukhairi Ajmal. Disebabkan lebih bertahan, Malaysia dilihat kurang mengasak ke kubu lawan.
Pada awal Vietnam dilihat bergelut membina asakan disebabkan sistem baharu yang digunakan pengganti Park Hang-seo, iaitu Gong Oh-kyun – 4-4-2. Namun, kekuatan mereka dipaksi kepada Nham Mạnh Dung.
Beberapa kali Manh Dung berhasil melepaskan diri untuk melepaskan percubaan berbahaya ke gawang skuad negara. Antaranya di minit ke-23, lima minit sebelum beliau menanduk masuk gol pertama pasukan lawan.
📋 LINE-UPS | 🇻🇳 Vietnam 🆚 Malaysia 🇲🇾
👀 Vietnam have an eye on the Quarter-Finals while Malaysia aims for a first win in Group C!
🤔 Which side will get the win?
📺 Watch 𝗹𝗶𝘃𝗲: https://t.co/kBSnpdrtGy#AFCU23 | #VIEvMAS pic.twitter.com/DQUAFaGz0A
— #AsianCup2023 (@afcasiancup) June 8, 2022
Jika dilihat, Vietnam telah menggunakan pendekatan fizikal dan keras berdepan Malaysia dalam usaha untuk memburu defisit lima gol bagi membolehkan mereka mara ke peringkat seterusnya. Ini yang menyebabkan Umar Hakeem yang bermain di sebelah kiri skuad muda negara mengalami kecederaan seawal minit ke-15.
Malaysia yang jarang-jarang mengasak hanya mampu membuat percubaan jarak jauh sahaja. Antaranya menerusi percubaan Aiman Afif di minit ke-31 yang tersasar daripada gawang yang dikawal Quan Van Chuan.
Skuad Brad Maloney ditekan bertubi-tubi lawan yang mahukan lebih banyak gol, memaksa Malaysia hanya mampu bertahan dan sekali sekala hadir mengasak ke kubu Vietnam. Firdaus Irman menjadi wira dalam beberapa situasi buat skuad negara dengan menyelamatkan beberapa situasi yang mampu menghasilkan gol.
Di hujung babak pertama, Hairey Hakim dilayangkan kad merah selepas bola didakwa terkena tangannya di dalam kotak penalti dan menghadiahkan sepakan penalti seterusnya disempurnakan Bui Hoang Viet Anh.
Bermula babak kedua dengan kekurangan seorang pemain, Malaysia bermain lebih bertahan dan keras. Ini menyaksikan lawan gagal untuk memecah masuk ke kawasan defensive third skuad negara dengan hanya mampu melakukan percubaan-percubaan jarak jauh ke gawang skuad negara yang tidak membahayakan.
Antaranya dua percubaan oleh Nguyen Van Truong di minit ke-60 dan ke-63 yang tersasar dan diselamatkan penjaga gol, Firdaus. Minit ke-70, giliran Dung Quang Nho membuat rembatan jauh yang tersasar jauh.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 2-0 dan sudah cukup buat Vietnam untuk mara ke suku akhir bersama Korea Selatan apabila Thailand tewas tipis 0-1 kepada lawannya dalam satu lagi perlawanan kumpulan.