Piala Asia B-23: Penyakit ‘Sedekah’ Penalti Terus Hantui Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya bawah 23 (B-23) kempunan untuk mendapatkan sekurangnya satu mata pada aksi pertama Piala Asia B-23 di Qatar apabila mereka tewas 0-2 di tangan Uzbekistan B-23.

Padah penalti diberikan oleh Syahir Bashah buat pasukan lawan menyebabkan Malaysia B-23 gagal untuk membawa pulang sekurangnya satu mata di peringkat Kumpulan D sebelum jaringan kedua ditambah pada penghujung perlawanan.

Seawal permainan berlangsung, segalanya tampak positif buat skuad kendalian Juan Torres Garrido yang berjaya melancarkan beberapa siri serangan pantas untuk mendapatkan gol sulung perlawanan.

Malaysia hampir mendapat peluang awal gol menerusi satu percubaan deras dilepaskan oleh penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin sebelum sepakan dari luar kotak penalti itu sedikit tersasar tinggi.

Lima minit permainan jelas Uzbekistan lebih mendominasi segalanya dengan Malaysia dipaksa untuk bertahan serta berhati-hati menyerap segala asakan cuba dibuat lawan.

Walaupun menguasai permainan, tidak banyak dapat dilakukan oleh lawan kerana pertahanan Malaysia jelas bersedia dan tampil berdisiplin untuk menutup segala ruang cuba diterjemahkan Uzbekistan.

Sebaliknya Malaysia hampir sekali lagi mengejutkan Uzbekistan sekali lagi hasil gerakan Luqman menerusi situasi serangan balas pantas sebelum ianya dinafikan oleh pertahanan pasukan lawan.

Malang menimpa Malaysia seawal minit kelapan, selepas sepakan penalti dihadiahkan buat lawan kerana kekasaran dibuat oleh Syahir Bashah jelas dikesan oleh pengadil perlawanan.

Sepakan tersebut mudah disempurnakan oleh Jasurbek Jaloliddinov yang tenang menewaskan Azim Al Amin untuk meletakkan Uzbekistan 1-0 di hadapan pada separuh masa pertama.

Skuad kendalian Garrido juga beberapa kali berdepan dengan asakan lawan yang jelas meningkatkan intensiti permainan selepas mereka berjaya menyesuaikan diri dengan baik setelah memasuki minit ke-30.

Memasuki separuh masa kedua, tidak banyak dapat dilakukan pasukan kebangsaan dengan mereka lebih mengharapkan siri serangan balas pantas sahaja untuk cuba mendapatkan gol penyamaan.

Walaupun begitu, ketumpulan posisi hadapan negara menyaksikan impian tersebut terus berkubur dengan Uzbekistan tampil begitu tenang menafikan segalanya serta terus menguasai permainan.

Uzbekistan terus menambah derita buat Harimau Malaya B-23 dengan kali ini giliran pemain gantian, Ulugbek Khoshimov untuk meletakkan Uzbekistan 2-0 di hadapan.

Keputusan perlawanan kekal dengan ianya berpihak kepada Uzbekistan untuk memastikan tiga mata pertama diraih mereka di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar.

Pastinya siri kebangkitan ditagih Harimau Malaya B-23 selepas ini untuk menghidupkan peluang mereka kembali ke pusingan seterusnya serta meraih slot ke pentas Olimpik.

Kesebelasan Utama

Uzbekistan B-23: Abduvakhid Nematov (Penjaga Gol), Saidazamat Mirsaidov, Muhammadkodir Hamraliev, Jasurbek Jaloliddinov (Kapten), Otabek Jurakuziyev, Makhamadjonov Makhmudjon, Umarali Rakhmonaliev, Alibek Davronov, Ruslanbek Jiyanov, Alisher Odilov, Abdurauf Buriev

Malaysia B-23: Muhammad Azim Al Amin (Penjaga Gol), Muhammad Ubaidullah, Harith Haiqal, Muhammad Mukhairi Ajmal (Kapten), Muhammad Aliff Izwan, Luqman Hakim, Nooa Laine, Ahmad Zikri, Fergus Tierney, Muhammad Syahir, Muhammad Safwan Mazlan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN