Piala Asia 2023: Yazan Al-Arab Harap Malaysia Mampu Lepasi Peringkat Kumpulan

Pertahanan import Selangor, Yazan Al-Arab tampil dengan kenyataan menyakinkan buat skuad kebangsaan untuk saingan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung nanti di Qatar.

Yazan yang merupakan pemain kebangsaan Jordan bakal menentang Malaysia pada saingan tersebut selepas diletakkan bersama dalam Kumpulan E selain Bahrain dan Korea Selatan.

Selepas 42 tahun menantikan peluang untuk beraksi di pentas Piala Asia secara merit, akhirnya Malaysia tampil melayakkan diri selepas cemerlang dalam pusingan kelayakan bersama Kim Pan-gon.

Tampil dengan mutu permainan menyakinkan bersama barisan pemain berkualiti ketika ini menjadikan Malaysia sebagai salah satu pasukan yang diberi tumpuan kini di Asia Tenggara.

Maka, tidak hairan Yazan menganggap Malaysia mampu mara ke pusingan seterusnya dalam aksi Piala Asia ini selepas mengharungi peringkat kumpulan.

Jelas Yazan, persaingan di peringkat Kumpulan E dianggap cukup terbuka buat mana-mana pasukan untuk mara ke pusingan kalah mati dengan setiap negara mempunyai peluang tersendiri.

“Saya memang dapat rasakan Jordan dan Malaysia akan berada dalam kumpulan sama, ini adalah satu motivasi buat diri saya kerana saya kenal pemain Malaysia.

“Sudah tentu saya tahu gaya permainan mereka, ramai pemain yang bagus dan saya hormati mereka dan berharap kedua-dua negara dapat mara ke pusingan seterusnya,” katanya menerusi Harian Metro.

Yazan menyertai Selangor sejak musim lalu boleh dianggap sebagai salah seorang pemain yang sangat konsisten bersama The Red Giants dalam setiap perlawanan dihadapi.

Menerusi kekuatan fizikal serta ketenangan beliau untuk menyerap asakan lawan, maka tidak hairan nama pemain ini akan terus dipilih bagi memperkuatkan skuad kebangsaan Jordan.

Selain Yazan, seorang lagi pemain Jordan yang bermain bersama Selangor musim ini dijangka turut akan dipanggil mewakili skuad kebangsaan iaitu Noor Al Rawabdeh.

Noor yang tampil cemerlang setakat ini sebagai enjin utama buat Selangor di posisi tengah menjadi antara pemain yang pastinya akan diberi tumpuan skuad kebangsaan pada saingan Piala Asia nanti.

Selain Jordan, satu lagi pasukan yang bakal memberi cabaran besar buat Malaysia kali ini ialah Korea Selatan, selepas negara tersebut sehingga kini kekal sebagai antara paling kuat di benua Asia dalam sukan bola sepak.

Sumber:
Harian Metro

Leave a Reply