Rahadiazli Pohon Doa Peminat Supaya Kembali Sembuh Demi Beraksi Di Final Piala FA

Para penyokong Terengganu kini mungkin boleh kembali tersenyum sambil terus mengharapkan agar penjaga gol utama, Rahadiazli Rahalim dapat beraksi pada aksi final Piala FA 2022 ini.

Rahadiazli yang mengalami kecederaan sebelum itu pada perlawanan Liga Super ketika menentang menentang Melaka United jelas memberi kerisauan buat para penyokong, apabila ramai menyangkakan pemain itu mungkin bakal berehat panjang.

Namun kem Terengganu dilihat kembali menyinar apabila keadaan Rahadiazli setakat ini semakin bertambah baik dan berkemungkinan dapat kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan.

Menurut Rahadiazli, kini beliau jelas bersemangat untuk memberikan segalanya agar dapat beraksi dalam aksi final ini kerana perkara tersebut merupakan salah satu daripada impiannya sejak bergelar pemain profesional.

Sebelum itu, penjaga gol muda berbakat ini berdepan saat menggetirkan ketika menentang Melaka United, apabila Rahadiazli terlibat dengan insiden perlanggaran bersama pemain lawan iaitu Harith Naem Jaineh sehingga beliau terpaksa dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri.

Melihat situasi yang agak kritikal ketika itu, ramai menyangkakan peluang untuk Rahadiazli beraksi di saingan terakhir Piala FA musim ini mungkin tidak kesampaian.

Namun, sesuatu yang positif berjaya menggembirakan pasukan serta penyokong apabila Rahadiazli sudah pun boleh keluar daripada hospital pada petang semalam.

“Ketika pertembungan itu, saya tidak pasti bahagian mana yang kena sebab saya tak ingat apa-apa yang berlaku, saya hanya tahu selepas melihat video perlawanan itu, mungkin saya kena pada bahagian kepala dan leher.

“Ketika sedar daripada pengsan, saya tanya jurulatih penjaga gol, Yazid Yassin yang berada bersama jurulatih, Nafuzi Zain dan penolong pengurus Zulfadli Rozi sama ada pasukan menang atau tewas ketika menentang Melaka,” katanya menerusi Harian Metro.

Menurut beliau lagi, keadaan dirinya kini semakin pulih dan tiada sesuatu yang serius berlaku kepadanya kecuali, masih ada rasa pening kesan daripada pelanggaran tersebut.

“Insya-Allah pada masa terdekat, saya akan cuba untuk menjalani latihan bersama rakan sepasukan, paling awal pada petang esok jika semuanya berada dalam keadaan baik.

“Tapi jika masih terasa pening atau terasa nak pitam, itu yang saya tidak boleh elak, tapi Insya-Allah saya akan cuba dulu yang sehabis baik untuk beraksi di final.

“Doa daripada peminat dipohon agar saya kembali pulih sepenuhnya kerana sudah pasti impian buat semua pemain untuk merasai beraksi pada pentas final lebih-lebih lagi kali pertama bagi saya,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, pemain muda ini juga mengakui reda sekiranya tidak dapat diturunkan walaupun sedikit terkilan kerana tidak dapat merasai aksi final.

“Semua pemain idam untuk beraksi di pentas final, tapi jika tidak dapat beraksi saya harap rakan dapat bermain bermati-matian dengan arahan jurulatih bagi memastikan kita mampu julang trofi itu,” katanya.

Menurut Ab Rasid Jusoh selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu, beliau menyatakan kini Rahadiazli sedang berehat di rumahnya dan berada dalam keadaan stabil.

“Sabtu lalu Rahadiazli dimasukkan ke wad 2 EF HSNZ dan selepas rawatan dia sedar sepenuhnya walaupun masih ada terasa sakit pada bahagian kepala dan perlu dipantau pihak hospital.

“Semalam sekitar 5 petang, penjaga gol itu dibenarkan keluar dari hospital dan kini sedang berehat di rumah, dia dijangka akan memulakan latihan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi.

Sumber:
Harian Metro

Leave a Reply