Pengendali Indonesia iaitu Shin Tae-yong mempunyai misi penting pada awal tahun 2023 ini, selepas beliau akan membawa cabaran bersama skuad bawah 20 (B-20) untuk saingan Piala Asia B-20 di Uzbekistan.
Menerusi persiapan dibuat dengan lebih awal, pastinya Shin mempunyai misi tersendiri untuk menyediakan skuad terbaik bagi memberi cabaran besar buat negara-negara lain yang lebih baik.
Berikut nomor punggung resmi Tim U-20 Indonesia pada gelaran Piala Asia U-20 2023. ✊🏼🇮🇩
Bagaimana opini kamu? 👀#KitaGaruda pic.twitter.com/tZ7JAH6Hxo
— PSSI (@PSSI) February 25, 2023
Walaupun kejuaraan Asia B-20 itu menyediakan slot untuk ke saingan Piala Dunia B-20 tahun ini, Indonesia secara rasminya sudah pun layak kerana memegang tiket selaku tuan rumah kejohanan.
Namun begitu, Shin tetap menegaskan kepada para pemain kendaliannya supaya tidak mengambil mudah saingan ini biarpun sudah melayakkan diri ke Piala Dunia yang turut akan bermula tahun ini.
Untuk pengetahuan, mana-mana pasukan yang melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala Asia akan mendapat slot untuk ke saingan tertinggi tersebut, dan Indonesia tidak perlu bersaing untuk memastikan slot mereka terjamin.
Shin menegaskan supaya para pemainnya perlu memberi fokus penuh serta bermain secara habis-habisan dengan menganggap seolah mereka masih lagi belum layak ke Piala Dunia.
“Jadi kita akan beraksi dalam saingan Piala Dunia B-20 2023 pada bulan Mei akan datang selaku status tuan rumah. Namun harus diingatkan jangan sesekali merasakan kita sebenarnya sudah pun layak.
“Kita harus menganggap Indonesia sebenarnya masih lagi tidak layak dan perlu mendapatkan slot secara sah untuk ke saingan Piala Dunia dalam kejuaraan Asia ini.
“Jika kita berfikir sedemikian, pastinya para pemain mampu memberi fokus dan mendapat hasil lebih baik pada aksi Piala Asia nanti,” jelas Shin menerusi Bola.com.
Untuk saingan Piala Asia ini, Shin sebenarnya masih lagi tidak memiliki kekuatan penuh dalam barisan pemainnya kerana ada beberapa tonggak tidak akan mengikuti perjuangan mereka di Uzbekistan.
Salah seorang tonggak Indonesia yang tidak akan ada ialah pemain tengah berkualiti mereka iaitu Marselino Ferdinan, selepas kelab diwakilinya itu KMSK Deinze tidak melepaskan beliau bersama pasukan negara.
Tim U-20 Indonesia telah tiba di Bandara Soekarno Hatta dan siap berangkat menuju Uzbekistan. 👊
Safe flight, Garuda Nusantara! 🦅#KitaGaruda pic.twitter.com/QVreUadXoq
— PSSI (@PSSI) February 24, 2023
Selain itu, tiga serangai pemain warisan baharu mereka juga masih lagi belum berjaya didaftarkan untuk menganggotai Indonesia dalam saingan Piala Asia.
Tiga pemain tersebut ialah Ivan Jenner, Justin Hubner, serta Rafael Struick dan dijangka akan membuat penampilan pada aksi Piala Dunia nanti.
Untuk aksi Piala Asia B-20, Indonesia telah pun diletakkan bersama Uzbekistan, Iraq, dan Syria dalam Kumpulan A dan dijangka akan menghadapi cabaran getir.