Bekas penyerang import Kedah Darul Aman, Mahmoud Al-Mardi tampil mencuri tumpuan untuk saingan Piala Asia 2023 Kumpulan E membabitkan negara diwakili beliau, Jordan berdepan Malaysia.
Pada aksi tersebut, Jordan berjaya menewaskan Malaysia menerusi keputusan penuh 4-0 di Stadium Al Janoub, Qatar untuk aksi pembukaan kedua Kumpulan E.
Empat gol Jordan diledak oleh Al-Mardi serta Mousa At Tamari untuk memastikan tiga mata pertama mereka berjaya digenggam pada perlawanan pertama itu:
Sepanjang saingan berlangsung, kelibat Al-Mardi di separuh masa pertama jelas menyukarkan pertahanan negara terutama sekali Matthew Davies menerusi kelincahannya.
Pernah menyarung jersi Kedah pada tahun 2022, jelas Al-Mardi menggunakan pengalaman tersebut untuk mengetepikan cabaran Malaysia terutama di separuh masa pertama sebelum dibawa keluar atas isu kecederaan.
Awal permainan menyaksikan Jordan terus memberi asakan bertali arus kepada Malaysia dengan pelbagai arah serangan dibuka mereka untuk cuba mendapatkan gol awal perlawanan.
Pertahanan Malaysia jelas berada pada tahap terbaik kini selepas mereka begitu tenang menyerap asakan cuba dibuat pasukan lawan tanpa sebarang kesilapan tidak sepatutnya dibuat.
Selepas lima minit aksi berlangsung, kedua pasukan masih lagi belum berjaya melakukan sebarang percubaan tepat dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang.
Skuad kebangsaan masih lagi dilihat cuba mendapatkan rentak terbaik mereka pada awal perlawanan dengan para pemain kelihatan kurang selesa untuk mencipta beberapa gerakan menarik.
Walaupun begitu, tekanan-tekanan tinggi dilakukan pasukan kebangsaan sedikit sebanyak berjaya menyukarkan pasukan lawan untuk mengawal bola dengan lebih lama.
Pemain sayap Jordan, Mahmoud Al-Mardi terlebih dahulu membuka jaringan perlawanan menerusi rembatan lencong beliau pada minit ke-12 dari sebelah kanan meletakkan lawan 1-0 di hadapan.
Malaysia seolah kehilangan punca di separuh masa pertama, dengan terus melepaskan dua gol berturut-turut hasil jaringan penyerang berbisa Musa Al-Tamari, sebelum dibatalkan oleh pengadil untuk meletakkan Jordan 2-0 di hadapan.
Lawan jelas tampil dengan kualiti permainan cukup berbeza terutama daripada segi aspek ketajaman, kreativiti untuk mengatasi barisan pertahanan negara.
Al-Mardi terus membuktikan diri beliau selaku salah seorang pemain paling menonjol pada perlawanan tersebut, selepas beliau meledak gol kedua peribadi bagi meletakkan Jordan selesa 3-0 di hadapan.
Walaupun begitu, pemain ini telah pun dikeluarkan sebelum saingan separuh masa pertama ditamatkan untuk memberi nafas baharu buat serangan Jordan.
Memasuki 40 minit permainan, skuad kendalian Kim Pan-gon masih mengalami kesukaran untuk membuka sebarang peluang serangan untuk sekurangnya memperoleh satu gol.
Malaysia hampir membuka jaringan sulung mereka pada masa tambahan separuh masa pertama menerusi rembatan deras Stuar Wilkin, sebelum percubaan tersebut sedikit tersasar dari gawang gol.
Bersambung di separuh masa kedua, ada beberapa perubahan dibuat oleh Kim dalam misi mereka untuk memperkukuhkan jentera pertahanan serta lebih agresif ketika menyerang.
Secara keseluruhan, Malaysia sudah pun menyesuaikan diri dengan baik di separuh masa kedua selain beberapa percubaan berbahaya berjaya dicipta Harimau Malaya.
Sebelum permainan tamat, Mousa At Tamari tampil meledak gol keempat buat Jordan sekali gus menyaksikan harapan Malaysia untuk mencipta kebangkitan tidak menjadi kenyataan.
Keputusan kekal tamat dengan memihak kepada Jordan menerusi keputusan 4-0 untuk mengatasi Malaysia dalam saingan pertama Kumpulan E bagi aksi Piala Asia 2023.
Kesebelasan Utama
Malaysia: Ahmad Syihan Hazmi (Penjaga gol), Matthew Davies (Kapten), Faisal Halim, Stuart Wilkin, Darren Lok, Arif Aiman Hanapi, Junior Eldstal, Afiq Fazail, Dion Cools, Corbin Ong, Romel Morales
Jordan: Yazeed Abulaila (Penjaga gol), Abdallah Nasib, Yazan Al-Arab, Noor Al-Deen Al Rawabdeh, Ali Olwan, Mousa Al Tamari, Yazan Alnaimat, Mahmoud Almardi, Salem Al Ajalin, Nizar Alrashdan, Ehsan Haddad (Kapten)