Penyerang Kedah, Zaquan Adha Abdul Razak kemungkinan akan dipilih sebagai kapten skuad Harimau Malaya dalam kejohanan empat penjuru, Piala Airmarine yang akan berlangsung pada 20 hingga 23 Mac ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjelaskan pemilihan pemain tersebut masih relevan berpandukan kepada kredibilitinya dan pengalamannya memimpin skuad negara dalam beberapa perlawanan antarabangsa.
Walaupun skuad negara mempunyai beberapa nama lain yang dilihat mampu mengetuai pasukan seperti Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan Talaha selaku pemain paling senior, Zaquan tetap menjadi calon utama sebagai kapten.
“Zaquan masih menjalankan tugas dengan baik dan masih memberikan impak kepada pasukan.
“Dia seorang pemimpin, pejuang dan itulah sebahagian daripada karakternya,” ujar Cheng Hoe dalam Stadium Astro
Tahun lalu, Zaquan memimpin skuad negara muncul sebagai naib juara Piala AFF dan perwatakan itu akan diteruskan dalam perlawanan yang akan datang. Prestasi semasa beliau dalam latihan masih tetap akan dinilai Cheng Hoe sebelum menentukan siapakah ketua pasukan sebenar.
Sementara itu, Cheng Hoe juga berharap para penyokong dapat membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil seperti mana ketika kempen Piala AFF tahun lalu.
“”Kami berharap penyokong hadir memberikan sokongan padu kepada kami di Bukit Jalil seperti ketika Piala AFF 2018 kerana ia meniupkan semangat yang cukup tinggi kepada pemain dan mampu meningkatkan keyakinan barisan pemain,” katanya lagi.
Skuad Harimau Malaya akan bertemu Singapura pada perlawanan pertama (separuh akhir) pada Rabu, 20 Mac 2019 sebelum bertemu Oman atau Afghanistan pada perlawanan kedua (final atau penentuan tempat ketiga/keempat) pada Sabtu, 23 Mac 2019.
Tiket perlawanan berharga RM45 untuk tempat duduk grandstand dan RM35 untuk tempat duduk terbuka serta boleh dibeli secara ‘online’ di laman web www.proticket.com.my
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, harga tiket tersebut sebenarnya melibatkan dua perlawanan dalam satu hari.