Piala AFF 2018: Jaringan Kontroversi Nguyen Anh Duc Beri Vietnam Kejuaraan Kedua

Vietnam akhirnya muncul johan kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 selepas berjaya menundukkan Malaysia di halaman sendiri dengan keputusan 1-0 dan menang secara agregat 3-2.

Cuaca sejuk di Hanoi seakan-akan memberikan gambaran yang skuad negara bakal berhadapan cabaran getir berhadapan Vietnam dengan tuan rumah memiliki kelebihan 2 gol di tempat lawan.

Vietnam berjaya menamatkan penantian 10 tahun untuk menjulang trofi Piala AFF Suzuki yang kali terakhir dimenangi pada edisi 2008 selepas menewaskan Thailand, juga dengan agregat 3-2.

(Photo by Stanley Chou/Getty Images)

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memilih untuk menyenaraikan barisan terbaiknya dengan kemasukkan semula 3 pemain pertahanan, Aidil Zafuan, Shahrul Saad dan Syahmi Safari.

Vietnam pula membuat perubahan kecil ke atas skuad yang beraksi di Bukit Jalil tempohari dengan 9 pemain dikekalkan. Menariknya, formasi pasukan telah diubah daripada 3-4-2-1 kepada 5-3-2.

Aksi babak pertama menyaksikan jaringan awal Nguyen Anh Duc menjadi pemisah antara Naga Emas dan Harimau Malaya walaupun seperti biasa, Malaysia tampak menguasai perlawanan.

(Photo credit should read MANAN VATSYAYANA/AFP/Getty Images)

Minit ke-6, menerusi serangan pertama, Nguyen Anh Duc berjaya menjaringkan gol pertama buat tuan rumah hasil lambungan Nguyen Quang Hai dari sisi kanan gol ke dalam kotak penalti.

Gol ke-11 antarabangsa penyerang berpengalaman Vietnam itu terhasil selepas Syazwan Andik gagal mengawalnya dan percubaan kaki kirinya mudah menewaskan Farizal Marlias di gawang.

Walaubagaimanapun, terdapat keraguan terhadap gol tersebut namun keputusan pengadil adalah muktamad.

Mohamadou Sumareh hampir berjaya menyamakan kedudukan buat Harimau Malaya di minit ke-11 namun percubaan backheel di hadapan gawang Vietnam hanya sipi ke kiri gol.

Perubahan formasi dengan meletak 5 benteng pertahanan yang dibuat oleh ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo tampak berkesan dalam mengekang Malaysia mengasak tuan rumah.

Selain itu, percubaan pelawat untuk mendapat gol menerusi situasi bola mati juga dilihat buntu apabila dua sepakan percuma yang diperolehi berjaya dibendung dengan baik oleh Naga Emas kali ini.

(Photo by Stanley Chou/Getty Images)

Selepas agak lama menyepi daripada menyerang ke kubu Malaysia, pada minit ke-33, Vietnam berjaya membuat percubaan jarak jauh yang tidak berbahaya oleh pemain tengah, Do Hung Dung.

Sebelum wisel babak pertama ditiupkan pengadil, penjaga gol tuan rumah, Dang Van Lam dipaksa untuk menyelamatkan percubaan deras Syahmi Safari daripada sebelah kanan dalam kotak penalti.

Minit ke-50, Malaysia sekali lagi hampir meledak gol penyamaan berpunca daripada sepakan penjuru dan kekalutan di depan gol selepas tandukan Sumareh diselamatkan Dang Van Lam.

Berselang 4 minit, sekali lagi Malaysia mengasak menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti tuan rumah menyaksikan Dang Van Lam dipaksa menyelamatkan percubaan ke-4 Safawi Rasid.

(Photo by Manan VATSYAYANA / AFP) (Photo credit should read MANAN VATSYAYANA/AFP/Getty Images)

Kapten skuad negara, Zaquan Adha berjaya melakukan tandukan namun sekadar tersasar daripada gol pada minit ke-65 selepas menerima hantaran lintang daripada Syahmi Safari.

Harimau Malaya memperbaiki aspek bertahan di babak kedua namun jentera serangan dilihat masih bergelut dengan sentuhan penyudah yang tumpul walaupun memiliki beberapa peluang.

Menuju 15 minit terakhir, Cheng Hoe melakukan pertukaran pemain dan perubahan formasi dengan memasukkan Syafiq Ahmad menggantikan pertahanan berpengalaman, Aidil Zafuan.

Minit 83, pemain gantian, Ha Duc Chinh hampir memberikan gol kedua perlawanan buat Vietnam selepas melepasi perangkap offside namun gagal memperdayakan Farizal Marlias.

(Photo credit should read MANAN VATSYAYANA/AFP/Getty Images)

Malaysia terus buntu walaupun telah membuat pertukaran dengan memasukkan tambahan dua pemain di jentera serangan iaitu AKhyar Rashid dan Shahrel Fikri di penghujung perlawanan.

Malaysia akhirnya sah tumpas kepada Vietnam apabila pengadil meniupkan wisel penamat dan Vietnam berjaya menjulang trofi AFF buat kali kedua di stadium yang sama, Stadium My Dinh.

Malaysia: Farizal Marlias (PG), Aidil Zafuan (75′ Syafiq Ahmad), Shahrul Saad, Syahmi Safari, Syazwan Andik, Syamer Kutty Abba, Akram Mahinan (85′ Shahrel Fikri), Safawi Rasid (83′ Akhyar Rashid), Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha, Zaquan Adha (K)

Vietnam: Dang Van Lam (PG), Que Ngoc Hai (K), Doan Van Hau, Nguyen Trong Hoang, Nguyen Anh Duc (81′ Ha Duc Chinh), Do Hung Dung (90′ Luong Xuan Truong), Nguyen Quang Hai, Phan Van Duc (71′ Nguyen Phong Hong), Tran Dinh Trong, Do Duy Manh, Nguyen Huy Hung

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN