Keputusan undian Piala AFF Suzuki 2018 memberikan sinar buat skuad kebangsaan apabila telah diundi bersama-sama Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos dalam kumpulan A pada majlis yang diadakan di Jakarta, Indonesia sebentar tadi.
Bukan mahu memandang rendah keupayaan skuad negara tetapi setidak-tidaknya anak buah Tan Cheng Hoe tidak perlu untuk berhadapan dengan Thailand, Indonesia, Filipina yang berada di kumpulan B.
Satu lagi pasukan yang akan berada di kumpulan maut itu adalah pemenang diantara Brunei dan Timor Leste yang akan beraksi dalam pusingan kelayakan.
Keputusan undian ini sedikit sebanyak memberikan harapan besar buat skuad negara bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir setelah gagal melakukannya pada edisi 2016 di Myanmar.
Di Myanmar dua tahun lalu, skuad negara hanya mencatatkan satu kemenangan (Kemboja) manakala tewas 1-0 dalam dua lagi perlawanan ketika bertemu Vietnam dan Myanmar untuk pulang hampa.
Undian ini juga seolah-olah ulangan pertemuan edisi di Myanmar dan peluang tersebut perlu digunakan sebaik mungkin oleh skuad negara untuk menebus kekecewaan pada edisi 2016.
Bagi edisi 2018, format pertandingan telah mengalami sedikit perubahan iaitu pada peringkat kumpulan apabila setiap negara akan beraksi dua perlawanan di tempat sendiri manakala dua lagi di gelanggang lawan.
Tidak seperti kelaziman yang seringkali menyaksikan sebuah negara akan menjadi tuan rumah untuk peringkat kumpulan.
Perlawanan peringkat kumpulan bagaimanapun masih lagi berformatkan liga satu pusingan seperti kebiasaan.
Bagi peringkat separuh akhir dan akhir, Konfederasi Bola Sepak Asean (AFF) masih mengekalkan format lama dengan pasukan bertanding akan bermain di gelanggang sendiri dan lawan.
Mengulas kembali mengenai keputusan undian tersebut, skuad negara perlu memperkemaskan segala aspek kerana Vietnam dan Myanmar juga bukanlah lawan mudah buat skuad Harimau Malaya. Begitu juga ancaman dari Kemboja dan Laos yang tidak diberikan harapan.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad negara adalah ketika dibawah bimbingan Datuk K. Rajagopal setelah berjaya menjuarai Piala AFF Suzuki 2010.
Kredit featured images: FAM