Masalah besar menimpa skuad kebangsaan Indonesia menjelang sepak mula Piala AFF 2022 apabila mereka tidak akan dapat beraksi di gelanggang keramat iaitu Stadium Gelora Bung Karno.
Stadium yang sering menjadi gelanggang keramat skuad Indonesia serta ‘padang latihan’ bagi Harimau Malaya itu tidak dapat digunakan untuk Piala AFF 2022 apabila Garuda menjadi tuan rumah untuk dua perlawanan peringkat kumpulan.
Keputusan ini dibuat oleh kerajaan Indonesia sendiri, selepas mengambil kira negara itu dalam rangka persiapan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 yang bakal diadakan pada tahun hadapan.
Oleh kerana itu, Gelora Bung Karno akan ditutup sementara untuk tujuan kerja baik pulih stadium.
Menurut laporan Kumparan, Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Zainudin Amali menegaskan yang stadium tersebut akan ditutup dan ini bukan sahaja akan memberikan kesan kepada Piala AFF.
Malah, konsert artis terkenal dari Korea Selatan iaitu Blackpink juga tidak akan diadakan di stadium tersebut walaupun sudah dijadualkan lebih awal.
“Semua stadium yang didaftarkan di FIFA [untuk digunakan pada Piala Dunia B-20] sudah dipersetuju oleh mereka. Kerja-kerja baik pulih akan bermula pada November ini.
“Saya boleh katakan ianya [konsert Blackpink] tidak akan dilangsungkan. Kami sudah katakan kepada FIFA yang stadium di Jakarta adalah gelanggang utama yang bakal digunakan,” kata Zainudin.
Mengikut jadual, Indonesia akan menjadi tuan rumah kepada dua perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF 2022 iaitu menentang Kemboja (23 Disember) dan juga Thailand (29 Disember).
Setakat ini, belum lagi dapat diputuskan mengenai status stadium manakah yang bakal digunakan Indonesia untuk Piala AFF kelak.
Terdapat cadangan agar Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) akan digunakan untuk dua perlawanan tersebut namun begitu ianya masih belum diputuskan secara rasmi.
Hal ini kerana, stadium tersebut dikatakan masih belum bersedia untuk menganjurkan perlawanan-perlawanan berprestij tinggi seperti Piala AFF.