Piala AFF: Apa Para Penyokong Malaysia Dapat Pelajari Menerusi Skuad Kali Ini?

Malaysia sah telah pun menamatkan cabaran Piala AFF 2022 di pusingan separuh akhir, selepas hasrat mereka untuk ke final telah disekat oleh Thailand di Stadium Thammasat menerusi keputusan agregat 3-1.

Walaupun tampil dengan keputusan sangat baik pada perlawanan lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Malaysia gagal untuk mengulangi momentum tersebut di gelanggang lawan.

Sepanjang aksi berlangsung, Harimau Malaya jelas gagal untuk mengimbangi kekuatan lawan di segenap sudut, selepas mereka lebih banyak bertahan di kubu sendiri.

Namun begitu, ianya masih sesuatu yang dapat dibanggakan sebenarnya jika dilihat pencapaian negara untuk mara sehingga ke pusingan separuh akhir.

Berbanding tahun lalu, Malaysia sekadar terkandas di peringkat kumpulan walaupun tampil dengan lebih ramai pemain utama yang menyerlah dalam saingan liga domestik.

Banyak perkara sebenarnya yang boleh dipelajari oleh para penyokong mengenai rentetan skuad kebangsaan kali bermula dari segi persiapan, sehingga wisel penamat terakhir dibunyikan pada perlawanan terakhir negara di Thailand.

Kredibiliti Kim Pan-gon yang teruji dengan lebih mencabar

Malaysia sebenarnya sudah pun mula menghadapi masalah mereka selepas Kim Pan-gon tidak mendapat barisan pemain terbaik yang dikehendakinya.

Memandangkan saingan Piala AFF tidak berada dalam kalendar FIFA, maka tidak menjadi kesalahan buat mana-mana kelab untuk tidak melepaskan barisan pemain mereka.

Dengan ketiadaan barisan pemain dikehendaki, ia sebenarnya menjejaskan persiapan Pan-gon dengan beberapa rombakan baharu terpaksa dibuat semula untuk disesuaikan mengikut pemain yang dimiliki.

Namun begitu, pengendali tersebut dilihat berjaya mengawal keadaan dengan baik dan menggunakan segala pemain yang ada untuk dibawa bersaing sehingga ke separuh akhir.

Lebih ramai muka baharu diperkenalkan

Sesuatu yang sangat menarik untuk diperkatakan mengenai skuad Harimau Malaya kali ini dengan lebih ramai muka baharu diperkenalkan.

David Rowley, Stuart Wilkin, Norhakim Hassan, Ruventhiran, dan Haqimi Azim antara wajah-wajah baharu yang tampil dengan aksi menyakinkan sepanjang saingan ini berlangsung.

Malah, dua pemain naturalisasi baharu negara juga berjaya memberi impak yang sangat baik iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero untuk memainkan peranan masing-masing dengan positif.

Menerusi kualiti yang dipamerkan mereka, Pan-gon mempunyai lebih banyak pilihan selepas ini untuk menilai pemain mana yang bersesuaian untuk terus menyarung jersi Harimau Malaya.

Harimau Malaya atasi jangkaan ramai para peminat

Setelah melihat skuad yang baru dibentuk ini dalam beberapa minggu, jelas segelintir para penyokong sebenarnya tidak begitu meletakkan harapan tinggi buat Harimau Malaya.

Beberapa pemain dipanggil kali ini juga tidak begitu menyakinkan para penyokong untuk melihat Malaysia melangkah jauh dalam saingan Piala AFF kali ini.

Namun, Pan-gon berjaya menafikannya dengan baik sekali, terutama dalam beberapa perlawanan di peringkat kumpulan sebelum itu menerusi kemenangan besar dikecapi serta tampil bersama aksi cukup berkualiti.

Kesimpulan

Ianya bukan suatu skuad yang lengkap, serta bayangan awal yang diingini oleh Pan-gon untuk membawa misi dalam kejohanan tersebut.

Walaubagaimana pun, mereka tetap tampil dengan sangat menyakinkan untuk mencuri perhatian ramai dari setiap perlawanan diharungi.

Ianya tidak berakhir dengan baik dari segi pencapaian serta konsistensi permainan, namun setidaknya ia memberi gambaran setiap pemain mampu membuktikan sesuatu untuk menjulang nama negara di persada antarabangsa.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN