Dua staf perubatan yang dituduh sedang mengintip sesi latihan terakhir Vietnam dilaporkan oleh media Vietnam dihalau keluar oleh Park Hang-seo.
Seperti biasa, pengendali Vietnam, Park Hang-seo memiliki ‘drama’ yang tersendiri apabila melibatkan perlawanan-perlawanan penting pasukannya.
Jika dahulu, bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe pernah dituduhnya mengintip sesi latihan Vietnam ketika persediaan kedua-dua pasukan bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Oktober 2019.
Mungkin terus paranoid dengan taktik licik sendiri yang suka mengintip pasukan lawan, Park kurang selesa jika terdapat individu tidak dikenali di sekitar lokasi latihannya. Dan semalam, sekali lagi, ‘dramanya’ bermula.
Vietnam akan bertemu Laos dalam aksi pertama Kumpulan B, Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Laos, malam ini. Dalam kumpulan yang sama, Malaysia akan bertemu Myanmar di sebelah petang.
And we've only just begun 🤩
🙋♂️ Who's ready for more #AFFMitsubishiElectricCup action tomorrow?
🇲🇲 Myanmar 🆚 Malaysia 🇲🇾
🇱🇦 Laos 🆚 Vietnam 🇻🇳#AFFMitsubishiElectricCup2022 | #BeTheGameChanger pic.twitter.com/uY4XPMg1eE
— AFF Mitsubishi Electric Cup (@affmecup) December 20, 2022
Walaupun hanya bertemu Laos. Park tetap mementingkan kerahsiaannya.
Semalam, Vietnam menjalani latihan taktikal di stadium tersebut bermula pada jam 6 petang. Dan ketika mereka sedang menyiapkan padang untuk sesi latihan itu, beberapa pembantu logistik pasukan seperti sedang memehatikan sekeliling stadium bagi memastikan tiada ‘pengintip’.
Park dilihat turut perasan kelibat individu tidak dikenali di tempat duduk VIP dan meminta pembantunya memaklumkan kepada pihak penganjur.
Sesi bersama pihak media di stadium berakhir selepas 15 minit pertama dan kedua-dua individu yang berpakaian staf perubatan telah diminta meninggalkan stadium selepas itu. Malah, tahap berhati-hatinya terlihat apabila semua mikrofon di tepi padang yang akan digunakan untuk siaran langsung malam ini turut diminta untuk dikeluarkan sepanjang sesi latihan.
Ini membawa kita kepada kisah kemarahannya apabila Tan Cheng Hoe dituduh mengintip sesi latihan mereka. Esoknya, Vietnam memindahkan sesi latihan ke tempat tertutup dek kerana diintip pasukan Malaysia.
Seperti yang dilaporkan VN Express, skuad negara telah tiba ke padang latihan awal 15 minit daripada yang sepatutnya. Malaysia dan Vietnam berkongsi padang latihan yang sama iaitu di VFF Youth Training Centre.
Skuad negara yang akan mengadakan sesi latihan pertama pada malam itu telah diminta tidak keluar daripada bas dan dibawa ke sudut yang sedikit tersorok dari padang latihan. Begitupun, ketika pemain-pemain negara sedang bersiap, Cheng Hoe dilaporkan memerhati sesi latihan lawannya.
Kelicikannya sendiri yang membawa kepada paranoid berlebih sebegini. Masih ingat ‘tingkap rahsia’ Park yang membolehkannya memantau sesi latihan setiap lawan yang akan bertemu Vietnam. Ia didedahkannya sendiri dalam satu rancangan (rancangan TV Korea Selatan) tentang rumahnya.
Bagaimana Tingkap Ajaib Ini Berfungsi Membantu Park Hang Seo Dalam Persiapan Pasukan – https://t.co/u2WqrR4fkZ pic.twitter.com/faJvzHG1go
— FE (@faizedzahar) December 13, 2018
Terdapat sebuah bilik khas yang membenarkan Park menganalisis taktikal pasukan lawan ketika lawan melakukan latihan. Ini kerana padang latihan yang diberikan kepada lawan adalah berdepan dengan rumahnya.
Park Hang-seo ketika ini dalam kejohanan terakhirnya bersama Vietnam.
Selepas lima tahun membimbing mereka dengan cemerlang, kontraknya akan berakhir pada Januari depan dan ia tidak akan disambung lagi.
Walaupun dikatakan terdapat perbincangan mengenai penyambungan kontraknya, tetapi ia berakhir dengan Park mengucapkan ‘annyeong’.
Sejak dilantik pada 2017, Park boleh dianggap sebagai jurulatih paling berjaya di Vietnam dengan kejayaan merangkul pelbagai kejuaraan.
Malaysia akan bertemu Vietnam dalam aksi ketiga dan ia dijadualkan akan berlangsung di gelanggang keramat mereka, Stadium My Dinh.