Piala AFF 2022: Kim Pan-Gon Bukti Jurulatih Yang Kenal Dan Sentiasa Percaya Pada Pemain

Ketika ini sebut sahaja mengenai Harimau Malaya, pastinya semua para penyokong berada dalam keadaan optimis dan percaya skuad negara mampu melakar sesuatu lebih baik untuk perlawanan seterusnya.

Malaysia kini sedang berada dalam landasan terbaik saingan Piala AFF 2022, selepas mereka berjaya mencipta dua kemenangan ketika menentang Myanmar dan Laos tanpa dibolosi sebarang gol.

Tiada siapa menduga sebenarnya skuad kebangsaan kali ini mampu tampil di luar jangkaan bersama prestasi beberapa pemain yang tidak disangka-sangka mencuri tumpuan.

Apa tidaknya, barisan pemain yang dipilih kali ini rata-ratanya masih lagi baharu digandingkan serta ada yang pertama kali mencipta penampilan sulung di pentas antarabangsa.

Malah, tanggapan awal sesetengah peminat ketika ada ramai pemain utama yang menolak panggilan kebangsaan ini juga tidak begitu baik.

Timbul kerisauan apa yang dilalui Tan Cheng Hoe sewaktu memimpin pasukan negara tahun lalu mungkin akan dirasai oleh Kim Pan-gon, iaitu tampil serba kekurangan untuk aksi Piala AFF.

Namun dua aksi persahabatan dihadapi sebelum saingan Piala AFF dilihat berjaya memadam segala cerita tidak enak mengenai pasukan negara.

Pemain yang kurang diberi tumpuan dan berjaya dibentuk untuk memenuhi kualiti di pentas antarabangsa seperti Shamie Iszuan, Norhakim Hassan, David Rowley, serta beberapa nama lagi tampil sangat menyerlah.

Siapa yang bertungkus lumus mempersiapkan pemain tersebut dalam tempoh beberapa minggu sahaja jika bukan Pan-gon.

Dalam tempoh yang singkat, Pan-gon sebenarnya boleh dianggap sudah berjaya merealisasikan skuad baharu milik beliau dengan pemain-pemain yang agak terhad.

Siapa sahaja menjangkakan David Rowley yang dianggap biasa dalam persaingan domestik mampu menjadi salah satu kunci utama untuk Pan-gon?

Atau, pemain paling muda dalam skuad kebangsaan iaitu Haqimi Azim berjaya meledak satu jaringan dan satu bantuan gol buat rakan sepasukan di hadapan ribuan penyokong?

Dan, hanya Pan-gon sahaja percaya Norhakim Hassan serta Shamie Iszuan boleh diharapkan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan menerusi kualiti kedua pemain tersebut.

Walaupun baru menentang Myanmar dan Laos, segalanya mungkin akan menjadi lebih buruk sekiranya Pan-gon tidak mengenali para pemainnya dengan lebih mendalam untuk membentuk keserasian dalam pasukan.

Tak sempurna, tetapi berjaya memberi keputusan positif yang lebih penting untuk negara dan para peminat dalam empat perlawanan dihadapi.

Daripada empat perlawanan dihadapi skuad baharu dibentuk ini, 13 gol sudah pun direkodkan skuad kebangsaan serta langsung tidak dibolosi sebarang jaringan.

Pengendali dari Korea Selatan ini juga jelas sangat berani membuat penggiliran pemain dengan hampir semua barisan bintang dibawanya kini sudah beraksi.

Untuk aksi bertemu Vietnam malam ini, segalanya tidak mustahil untuk skuad kebangsaan walaupun beraksi di gelanggang lawan serta mempunyai rekod kurang baik.

Salah satu kelebihan Pan-gon ialah beliau mampu membuatkan lawan sukar mengetahui pemain mana bakal dibawa turun untuk aksi ini.

Walau apapun keputusannya malam ini, Pan-gon sudah pun buktikan pada empat keputusan perlawanan lalu, biarpun tampil dengan serba kekurangan pemain.

Semoga skuad kebangsaan mampu mencatat keputusan positif, dan mencerahkan peluang untuk beraksi di pusingan seterusnya dalam saingan Piala AFF 2022.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN