Hal penjagaan makanan untuk para atlet memang tidak dapat dipisahkan kerana ia memainkan peranan penting untuk menentukan prestasi mereka ketika beraksi dalam sukan.
Begitu juga dengan pemain bola sepak, apabila aneka makanan yang diambil mereka juga turut dinilai untuk menepati piawaian dan kuantiti diperlukan.
Recovery Foods for a Footballer 💪🏻⚽️
Today's #foodiefridays informs us about the essential recovery foods for footballers, which can help them recover quickly after a game or a training session.
What is your go-to recovery food? 🤔 #RFYC #WeCare #YoungChamps #Nutrition pic.twitter.com/cGIClhuQVT
— RFYC (@RFYoungChamps) December 23, 2022
Pada aksi Piala AFF 2022 ini, ada perlawanan yang berlangsung di Malaysia dan telah membabitkan beberapa negara untuk menetap seketika sehingga tugasan mereka selesai.
Untuk itu, para pemain telah menetap di salah satu hotel terkemuka berdekatan lokasi perlawanan di sekitar Subang dan segala menu pemakanan mereka juga turut dijaga dengan rapi.
Individu bertanggungjawab tersebut merupakan Cef Sous Eksekutif Dorsett Grand Subang, Cef Shahbani Md Akhir yang mengetuai tugas untuk memenuhi segala kehendak diperlukan setiap negara menetap di hotel itu pada saingan Piala AFF 2022 ini.
Menurut Cef Shahbani, beliau mengakui dirinya menjadi individu penting untuk memastikan segala keperluan yang diminta wakil setiap negara dipenuhi.
Berpengalaman dalam mengendalikan perkara tersebut sebelum ini dengan membabitkan pasukan tempatan serta luar negara, Cef Shahbani mengakui banyak cabaran yang sudah pun dilalui sepanjang karier.
“Selalunya pengurus pasukan itu sendiri akan datang berjumpa saya untuk membincangkan mengenai menu pemakanan sihat yang sesuai untuk para pemain mereka.
“Menu makanan pedas, lemak tinggi, dan juga sebarang makanan yang mengandungi minyak akan dikeluarkan dari senarai untuk memenuhi kehendak diperlukan.
“Jadi menu yang kami sediakan ni lebih sihat seperti lebih protein dan karbohidrat dan bentuk makanan dari barat selalunya menjadi keutamaan.
“Petang sebelum perlawanan, setiap pemain akan mengelakkan makanan yang mempunyai protein tinggi kerana ia merencatkan ketahanan pemain untuk beraksi di atas padang,” jelas beliau.
Walaupun begitu, Cef juga turut menjelaskan segala kehendak menu pemain akan dituruti juga seperti hidangan roti canai, nasi lemak, dan sebagainya selepas perlawanan selesai sahaja.
Cef Shahbani turut berkongsikan beberapa pengalaman beliau sepanjang bertugas mengawal hal pemakanan para pemain bola sepak dari luar negara.
“Salah satu yang saya ingat ialah Bahrain. Ada beberapa menu yang sukar dipenuhi tetapi diminta mereka untuk kami sediakan.
“Kami boleh sediakan. Tetapi kos yang disediakan untuk kami penuhi tidak selaras dan kami perlu berbincang semula.
“Ada juga yang membawa cef sendiri dari negara masing-masing. Maka jadi masalah kami untuk berkomunikasi. Tambahan pula mereka tidak tahu berbahasa melayu atau inggeris.
“Akhir sekali halangannya ialah mereka minta hidangan yang tidak halal dan bila kami tak penuhi, mereka hairan serta mempertikaikan perkara tersebut,” terang Cef Shahbani.
Seterusnya, Cef Shahbani turut memberi nasihat tentang pemakanan sihat buat pemain muda yang baru meningkat naik.
“Mereka boleh makan nasi lemak atau apa yang kita makan sekarang ni. Tapi latihan selepas itu, mereka perlu lebih daripada kebiasaan.
“Paling penting mereka sendiri perlu berdisiplin untuk menjaga pemakanan dan latihan serta jauhi rokok kerana ia akan mengganggu stamina para pemain,” ulas beliau akhir sekali.