Saingan Piala AFF 2022 bermula pada hari ini dengan skuad Harimau Malaya hanya akan beraksi pada esok mementang Myanmar.
Dengan tumpuan seluruh warga Asia Tenggara akan tertumpu pula pada saingan ‘Piala Dunia’ bagi rantau ini, ianya juga menarik rakyat di Korea Selatan untuk mengikut saingan dwitahunan ini.
Lebih menarik, rakyat di negara kelahiran jaguh-jaguh Asia seperti Son Heung-min dan Park Ji-sung ini akan berpeluang untuk menyaksikan aksi-aksi pemain kita seperti Faisal Halim, Khuzaimi Piee dan Syihan Hazmi.
Hal ini kerana, Korea Selatan adalah satu-satunya negara di luar Asia Tenggara yang mendapatkan hak penyiaran Piala AFF 2022.
Menurut ASEAN Football, rakyat di Korea Selatan berpeluang untuk menyaksikan aksi hebat Harimau Malaya menerusi saluran SBS.
SBS merupakan sebuah saluran penyiaran yang cukup terkenal di Korea Selatan dengan mereka menyiarkan pelbagai drama-drama menarik seperti The Office Blind Date, Revenge of Others dan The King: Youngwonui Gunjoo.
Turut mempunyai saluran sukan iaitu SBS Sports, disitulah aksi-aksi pemain Harimau Malaya akan disiarkan buat tatapan jutaan rakyat Korea Selatan bermula pada esok.
Selain aksi pemain Malaysia, mereka yang berada di Korea Selatan turut boleh menonton perlawanan-perlawanan Indonesia dan juga Vietnam menerusi saluran SBS.
Kenapa hanya tiga negara ini sahaja? Barangkali kerana faktor pengendali Malaysia, Indonesia dan Vietnam kesemua berasal dari Korea Selatan membuatkan SBS tertarik untuk menyiarkan Piala AFF tahun ini.
Malaysia dikendalikan oleh Kim Pan-gon, Indonesia dilatih Shin Tae-yong serta Vietnam diuruskan Park Han-seo.
Sementara bagi rakyat Malaysia, siaran langsung di negara ini boleh ditonton menerusi saluran Astro Arena.