Piala AFF 2022: 3 Aspek Perlu Dikuasai Harimau Malaya Untuk ‘Terkam’ Thailand

Piala AFF 2022

Malam ini akan berlangsung perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Stadium Thammasat dan ia akan menjadi tumpuan jutaan peminat di Malaysia.

Pasukan tuan rumah sudah pasti ingin bangkit mengaum di halaman sendiri sementara Malaysia mempunyai sedikit kelebihan ingin mempertahankannya dan mara ke perlawanan akhir.

Oleh itu, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh pemain di dalam perlawanan itu bagi mendapatkan keputusan positif malam ini.

Perlahankan rentak permainan

Jika kita melihat perlawanan pada Sabtu lepas, jelas anak-anak buah Mano Polking menerapkan gaya permainan pantas dan terus menekan pertahanan pasukan kebangsaan.

Perlawanan malam ini, mereka dijangka akan tingkatkan lagi rentak permainan bagi mendapatkan jaringan awal dan disebabkan itu, Malaysia harus menyekat ia daripada berlaku.

Jika mereka memilih untuk bermain laju, Malaysia perlu mengambil pendekatan untuk kurangkan tempo permainan itu supaya kita tidak terikut rentak mereka sebaliknya Thailand perlu mengikut rentak permainan Malaysia.

Ini bermaksud, setiap pemain harus berani mengawal bola dan tidak mudah hilang bola begitu sahaja. Pendekatan ini sudah pasti dapat mengganggu taktikal mereka dan secara psikologi, Thailand akan berada dalam tekanan dan tidak dapat bermain seperti dirancang.

Pemain Malaysia juga harus elak membuang bola secara kerap atau melakukan hantaran-hantaran jauh untuk untuk menyelamatkan seketika barisan pertahanan kerana gaya permainan ini sebenarnya akan memberi tekanan lebih tinggi kepada Harimau Malaya sendiri.

Thailand akan terus datang dan kerja mereka juga akan menjadi lebih mudah dalam mengatur serangan.

Bermain bertahan itu satu pilihan yang bagus bagi mempertahan kelebihan yang ada namun untuk melakukannyasepanjang 90 minit risikonya amat tinggi apatah lagi berhadapan dengan pasukan yang ada kemahiran individu yang tinggi.

Ini bukan bermaksud meminta anak-anak buah Kim Pan-gon untuk bermain permainan terbuka kerana ini juga amat bahaya kepada pasukan.

Namun apa yang boleh dilakukan adalah kita bermain laju dari segi memberi tekanan kepada lawan untuk 45 minit awal.

Serangan Balas Pantas 

Thailand akan turun dengan gaya menyerang apatah lagi mereka ketinggalan 1-0 ketika ini. Situasi ini memberi kelebihan buat pasukan Malaysia sebenarnya.

Bila pemain mereka begitu ghairah menyerang dan memberi bantuan kepada barisan hadapan, secara tidak langsung ia telah membuka ruang lebih luas di bahagian belakang untuk kita bermain serangan balas pantas untuk mendapatkan jaringan.

Taktikal seperti ini sering digunakan oleh Jose Mourinho kerana beliau begitu bijak mengambil ketepatan masa dalam memerangkap lawan untuk mendapatkan jaringan melalui satu serangan balas pantas.

Perkara ini sudah terjadi pada separuh akhir pertama baru-baru ini. Namun apa yang lebih penting adalah kualiti hantaran serta penyudah itu perlu diberi perhatian. Kita perlu sentuhan terakhir itu tajam supaya bola dapat diletakkan di dalam jaring lawan.

Pemain yang berhadapan situasi getir ini juga harus bijak mengambil keputusan pantas sama ada ingin melakukan percubaan terus atau melakukan hantaran kepada rakan sepasukan yang lebih terbuka ruangnya bagi meledak jaringan.

Kita juga harus bijak mengambil kesempatan dari segi bola mati seperti sepakan percuma dan sepakan penjuru. Dua situasi ini sepatutnya memberi kelebihan buat pasukan terutamanya dari sepakan percuma.

Kita mengharapkan sepakan percuma dari Safawi Rasid yang pernah menggegarkan jaring gol lawan sebelum ini mampu dijelmakan dalam perlawnanan penting sebegini. Kita masih belum ada jaringan dari situasi bola mati setakat ini dalam Piala AFF 2022.

Malam ini, situasi yang sama sudah pasti akan terjadi dan kita mengharapkan peluang yang hadir itu dimanfaatkan sebaiknya.

Moga malam ini Darren Lok mampu mendapat sentuhan berbisa seperti mana beliau melakukan hatrik di Liga Super musim lepas.

Penguasaan bahagian tengah

Dalam permainan bola sepak, posisi tengah antara komponen penting untuk memastikan ke mana haluan pasukan sepanjang permainan berlangsung.

Jika kita berjaya mengawal dan menguasai bahagian ini, potensi untuk mencatat kemenangan atau keputusan positif begitu tinggi.

Oleh itu, Brendan Gan dan Stuart Wilkin antara individu penting malam ini bagi menyekat terlebih dahulu serangan dari Thailand.

Kita juga memerlukan seorang pemain yang begitu cergas untuk berlari dan melakukan tekanan kepada lawan setiap kali mereka dapat bola.

Perkara paling penting adalah babagian tengah dan pertahanan harus sentiasa berkomunikasi agar kita tidak melakukan sebarang kesilapan. Dua bahagian penting ini tidak boleh pecah dan harus bersatu sebagai satu unit dalam apa jua pergerakan.

Skuad bimbingan Polking begitu gemar memulakan serangan dari sebelah kiri dan kanan sebelum menghantar bola kepada pemain mereka.

Dengan kemasukan Azam Azmi selepas digantung dua perlawanan, ia telah menambah kekuatan di bahagian pertahanan kanan negara kerana sebelum ini, pemain Thailand begitu mudah membolosi bahagian tersebut.

Penutup

Ketika ini, prestasi skuad Harimau Malaya berada di tahap terbaik. Jika mereka percaya akan diri mereka mampu mendapatkan keputusan terbaik malam ini, kita sebagai peminat juga harus mendukung perjuangan skuad negara.

Tumpuan bukan sahaja kepada pemain, malah Kim juga akan menajdi perhatian kerana beliau sentiasa ada taktikal tersendiri dalam menghadapi lawan.

Dalam pusingan kalah mati, taktikal konvervatif mungkin bukan pilihan utama dan memberi sedikit kebosanan dalam bola sepak tetapi pendekatan ini jika bijak digunakan, ia akan membuahkan hasil untuk capai kejayaan.

Paling mudah seperti mana Croatia lakukannya dalam edisi Piala Dunia hingga membawa mereka ke peringkat akhir 2018 dan separuh akhir 2022.

Moga kejayaan akan memihak kepada Malaysia dan kita megharapkan Harimau Malaya akan terus lebih agresif menerkap Gajah Perang malam ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN