Piala AFF 2020: Malaysia Mula Dengan Langkah Kanan Tewaskan Kemboja 3-1

Piala AFF Malaysia Kemboja

Aksi bertenaga pada separuh masa kedua memberikan kemenangan pertama skuad Harimau Malaya selepas menewaskan Kemboja 3-1 dalam aksi pertama peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020 yang berlangsung di Stadium Bishan.

Skuad Malaysia sedikit cemas seawal minit kelima apabila Kemboja melancarkan serangan ke gawang Malaysia, tetapi seminit kemudian giliran Malaysia pula menguji benteng pasukan lawan dengan percubaan leret Safawi Rasid yang ditepis keluar oleh penjaga gol Keo Soksela.

Minit ke-21, Malaysia dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil selepas Akhyar Rashid yang membuat larian di sebelah kiri dijatuhkan oleh Ken Chansopheak dalam kotak penalti.

Safawi yang menggalaskan tanggungjawab selaku pengambil sepakan penalti tiada masalah untuk menterjemahkan peluang tersebut dengan jaringan pembukaan bagi meletakkan malaysia mendahului 1-0 pada minit ke-23.

Akhyar terus mencuri tumpuan apabila gelecekannya berhasil mengatasi pemain pertahanan dan berdepan dengan penjaga gol dalam situasi satu lawan satu, namun Keo Solsela sekali lagi cemerlang untuk membuat tepisan.

Mungkin sudah mendahului satu gol, Tan Cheng Hoe mengambil keputusan untuk membuat perubahan taktikal dengan melakukan pertukaran awal mengeluarkan Junior Eldstal dan memasukkan Mukhairi Ajmal di bahagian tengah.

Ketinggalan satu gol, Kemboja langsung tidak mengendurkan serangannya dan hampir mendapat gol penyamaan menerusi beberapa percubaan termasuklah rembatan terus dari sepakan penjuru.

Namun pengalaman dan ketangkasan Khairul Fahmi Che Mat memastikan gawang Malaysia kekal tidak dibolosi sehingga waktu rehat.

10 minit selepas bermula babak kedua, Baddrol Bakhtiar hampir menambah jaringan buat skuad negara tetapi percubaannya dari luar kotak penalti hanya sedikit tersasar di sebelah kiri gawang Kemboja.

Akhyar meletakkan Malaysia 2-0 di depan pada minit ke-61 apabila serangan balas pantas yang direncanakan melalui lorongan Syafiq Ahmad kepada pemain sayap JDT itu yang disudahkan dengan skil individu yang cukup menarik sebelum melepaskan rembatan kencang.

Keputusan Cheng Hoe untuk membawa masuk Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-65 bagi menggantikan Guilherme de Paula telah mendapat sorakan penyokong Malaysia yang hadir ke stadium selepas penyerang naturalisasi itu dilihat kurang berfungsi dan melakukan beberapa kesilapan.

R. Kogileswaran diberikan debut bersama skuad kebangsan apabila dimasukkan pada minit ke-75 bersama dua pemain lain iaitu Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia, Arif Aiman Hanapi serta penyerang Selangor Shahrel Fikri.

Kemasukan Luqman jelas memberi impak yang positif pasukan Malaysia yang menampulkan corak pemainan yang lebih kemas dan tersusun dalam merencanakan serangan dan menghasilkan beberapa peluang.

Ia jelas terbukti apabila penyerang kelab Belgium, KV Kortrijk itu menghasilkan bantuan gol buat Kogileswaran pada minit ke-79 dengan hantaran lintang rendah dari sebelah kanan untuk memastikan Malaysia selesa mendahului tiga gol.

Pada penghujung perlawanan, pengadil membuat keputusan kontroversi apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada Kemboja kerana mendakwa penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat sengaja mengasari penyerang lawan ketika menangkap bola.

Kemboja tidak mepersia-siakan peluang itu dengan rembatan tepat ke sebelah kanan untuk menewaskan Khairul Fahmi walaupun penjaga gol Melaka United itu telah merebahkan badannya ke arah yang tepat dan mengurangkan jurang jaringan.

Kemenangan ini pastinya memberikan kelegaan buat Cheng Hoe yang mengutip tiga mata pertama sementara menunggu keputusan melibatkan Vietnam dan Laos dalam aksi yang akan berlangsung pada malam ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN