Thailand berjaya mempamerkan aksi yang cemerlang pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala AFF 2020 dengan menewaskan Vietnam 2-0 di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.
Seawal permainan kedua pasukan saling cuba menguasai permainan dengan masing-masing cuba menggerakkan jentera serangan dengan Supachok Sarachat hampir membuka jaringan untuk Thailand awal namun lorongan Theerathon Bumphatan sedikit kuat untuk dikejar Supachok.
5 minit permainan menyaksikan Vietnam terpaksa bertahan terlebih dahulu dengan Thailand bermain corak permainan berintensiti tinggi untuk menekan pertahanan lawan dengan siri serangan pantas.
Thailand berjaya memperoleh gol pertama menerusi serangan balas serta kesilapan sendiri pertahanan yang memberi ruang serta penjaga gol Vietnam yang keluar lebih awal untuk Chanatip Songkrasin menyudahkan peluang gol pada minit ke-14.
Sesekali pasukan Vietnam cuba mencabar lawan dengan turut menyerang ke kubu lawan, namun disiplin tinggi yang dipamerkan pertahanan Thailand menyukarkan mereka untuk bergerak masuk dan melepaskan sebarang percubaan berbahaya.
Permainan yang agak panas juga menyaksikan banyak foul berlaku di atas padang membabitkan kedua pasukan dan jurulatih Thailand, Alexandre Polking dilayangkan kad kuning kerana tidak puas hati akan anak buah beliau yang dikasari pada minit ke-18.
Setelah 20 minit berlangsung, anak buah Park Hang Seo mula menguasai permainan dengan melancarkan beberapa siri serangan yang baik setelah Thailand menurunkan sedikit rentak permainan. Namun, tiada satu serangan yang berhasil memberi ancaman berbahaya.
Chanatip terus menjadi duri dalam daging buat Vietnam apabila berjaya meledak gol kedua buat Thailand apabila bijak bermain satu-dua hantaran pendek dengan rakaan sepasukan untuk menewaskan lawan pada minit ke-23.
Sepakan percuma yang diambil oleh Nguyen Quang Hai pada minit ke-33 hampir memberi gol pertama buat Vietnam, namun rembatan pemain tersebut hanya menggegarkan palang gol untuk mereka terus kecewa memburu gol pertama.
Permainan lebih banyak berlegar di tengah padang tanpa sebarang percubaan menarik yang dipamerkan oleh kedua pasukan. Baik Thailand atau Vietnam, kedua pasukan bermain dengan berhati-hati untuk mengelakkan kesilapan yang terdedah buat lawan masing-masing.
Penghujung separuh masa pertama nyata Vietnam meningkatkan intensity permainan untuk menekan Thailand serta mencari gol pertama sebelum wisel dibunyikan. Tapi agak sayang tiada sebarang percubaan menarik terhasil.
Separuh masa kedua menyaksikan Vietnam terus melancarkan serangan ke kubu lawan bagi mencari gol pertama bagi menaikkan terus semangat mereka dalam perlawanan ini untuk sekurangnya merapatkan jurang kedudukan semasa.
Kedua pasukan dilihat buntu untuk melepasi blok pertahanan lawan masing-masing dan bola lebih banyak berlegar di tengah padang tanpa ancaman yang berbahaya dipamerkan.
Quang Hai terpaksa melepaskan satu rembatan jarak jauh yang tersasar setelah gerakan yang cuba dibina Vietnam sulit untuk dilepasi apabila pertahanan Thailand begitu kental menyerap asakan pada minit ke-53.
Chanatip hampir mencipta hatrik setelah Thailand berjaya mencipta gerakan menarik yang membuka ruang buat kapten pasukan ini untuk melepaskan rembatan dalam kotak penalti namun bola sedikit tersasar tinggi pada minit ke-56.
Minit ke-66 Vietnam mendapat beberapa peluang mencipta gol namun rembatan Quang Hai dari luar kotak penalti hanya terkena palang gold an siri susulan lain juga gagal menghasilkan sebarang jaringan buat mereka.
Vietnam melepaskan peluang keemasan untuk gol pertama mereka pada minit ke-79 namun rembatan yang dilepaskan Van Duc sekadar melepasi gawang gol walaupun menerima hantaran cantik daripada Quang Hai.
Malam yang lebih malang buat Vietnam apabila Thailand diberi sepakan penalti apabila ada kekasaran yang dibuat pertahanan mereka buat lawan. Peluang yang diberi nyata disia-siakan Chanatip untuk mencipta hatrik apabila rembatan beliau tepat ke dalam dakapan penjaga gol pada minit ke-84.
Menuju ke minit akhir permainan, aksi kekasaran lebih banyak dibuat kedua pasukan dan permainan kerap terhenti dek kecederaan pemain masing-masing.
Perlawanan tamat dengan keputusan kekal 2-0 milik kepada Thailand bagi aksi pertama separuh akhir saingan Piala AFF. Perhitungan akhir akan dibuat pada aksi separuh masa kedua nanti bagi menyaksikan pasukan mana layak ke final dan menjadi juara.