Aksi menarik yang ditampilkan terutamanya pada babak pertama belum cukup untuk menghadiahkan kemenangan buat Harimau Malaya selepas terikat tanpa jaringan bertemu Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Berdepan lawan yang kelihatan begitu ampuh apabila berjaya menghasilkan 15 jaringan di peringkat kumpulan, tidak langsung menghadirkan gerun buat para pemain Harimau Malaya pada malam ini.
Skuad bimbingan Tan Cheng Ho itu mempamerkan aksi yang begitu meyakinkan dengan kawalan permainan baik serta menjelmakan beberapa peluang keemasan.
Usaha bertali-arus yang dilancarkan bagaimanapun gagal diterjemahkan kepada jaringan akibat ketumpulan penyudah jentera serangan skuad negara.
Malaysia menghadirkan ancaman ke kubu Thailand seawal minit ke-5 ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan penalti pasukan pelawat menerusi rembatan yang dilepaskan Syahmi Safari.
Safawi Rasid yang mendapat peluang untuk melakukan rembatan susulan, gagal menggunakan kesempatan dimiliki dan sekadar melakukan percubaan tersasar melewati palang gol.
Safawi sekali lagi menjadi tumpuan apabila rembatan yang diledakkannya selepas mendapat umpanan cantik dari Mohamadou Sumareh pada minit ke-20 ditepis keluar penjaga gol, Chatchai Bootprom bagi menyelamatkan keadaan.
Thailand yang sesekali mengatur gerakan ke kubu skuad negara turut memperoleh peluang mencipta jaringan menerusi satu hantaran lambung yang mencari Nurul Sriyankem pada minit ke-24.
Rembatan yang dilepaskan pemain berusia 26 tahun itu pantas dihalang Aidil Zafuan Abd Radzak untuk memberikan sepakan penjuru buat Thailand.
Malaysia kembali mencipta gerakan menarik di sebelah kanan pintu gol Thailand yang menyaksikan Zaquan Adha mengumpan bola kepada Sumareh yang tidak dikawal pertahanan.
Sumareh bagaimanapun mensia-siakan peluang yang terhidang apabila rembatannya hanya melintasi pintu gol lawan ketika Chatchai sudah mati langkah.
Aksi bersambung menyaksikan tempo permainan sedikit menurun berbanding aksi di babak pertama walaupun kedua-dua pasukan berusaha keras untuk mencipta gerakan memburu jaringan.
Penyokong negara hampir melonjak kegembiraan pada minit ke-66 apabila Zaquan Adha mendada bola dengan baik bagi membuka peluang Norshahrul Idlan Talaha melakukan percubaan.
Norshahrul yang melepasi kawalan pertahanan Thailand bagaimanapun sekadar melepaskan rembatan yang melewati palang gol.
Gerakan-gerakan yang dicipta selepas itu juga tidak mampu untuk menghadirkan jaringan yang diharapkan dan keputusan tanpa jaringan kekal hingga pengadil perlawanan dari Oman, Ahmed Abu Bakar Said Al Kaf meniupkan wisel penamat.
Misi ke final buat skuad negara akan diteruskan pada pertembungan separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok, Rabu nanti.