Quantcast

BERITA KOMUNITI

SCL2018: Gol Tunggal Nahrul Hayat Hantar KRU Port Klang Mara Ke Final

KRU Port Klang berjaya mara ke perlawanan akhir Selangor Champions League 2018 selepas berjaya menewaskan Kajang AZS 1-0 dalam perlawanan separuh akhir yang menghiburkan di Stadium MPSJ malam tadi.

Kedua-dua pasukan yang memburu misi layak ke perlawanan akhir Selangor Champions League buat kali pertama dalam sejarah kelab mereka nyata sama-sama kuat. Penguasaan bola saling bertukar. Tetapi KRU mempunyai sedikit dominasi. Tetapi AZS jauh lebih berbahaya dalam 13 minit pertama.

Ini terbukti apabila Sulaiman Ramlan terpaksa membuat 3 cubaan menyelamat cemerlang untuk menafikan gol pembukaan AZS. Ini termasuklah percubaan penyerang AZS, Phillip Abbah dalam situasi 1v1 yang diselamatkan oleh refleks baik Sulaiman pada minit ke-10.

KRU turut mempunyai peluang keemasan mereka sendiri. Tetapi apabila penyerang veteran Rosedy Muslim melepaskan rembatan rendah dalam situasi 1v1 yang nampak berjaya menewaskan Faiz Ismail, seorang pertahanan tampil mengeluarkan bola dari garisan gol untuk menyelamatkan penjaga gol AZS tersebut.

Kelajuan Phillip Abbah melalui serangan balas kilat AZS nyata banyak memberi masalah kepada pertahanan KRU. Pada minit 24′, penyerang import dari Nigeria ini sekali lagi mempunyai peluang apabila berjaya melepasi cabaran pertahanan KRU. Tetapi sepakan beliau terkena palang.

KRU memberi respons dengan satu lagi percubaan yang mencemaskan AZS. Susulan daripada percubaan Huzaini Ikhram di sayap kiri yang tersasar jauh, KRU mencuba sekali lagi – kali ini dari sayap kanan menerusi Suhaili Rahman. Selepas berjaya menewaskan bek kiri AZS, Suhaili meledakkan rembatan deras rendah yang menewaskan Faiz Ismail. Tetapi tiang menjadi penyelamat AZS.

5 minit kemudian, Phillip menghantui KRU lagi. Kali ini juga berpunca dari serangan balas pantas, beliau membawa bola dari sayap kanan sebelum memotong dalam dan melepaskan rembatan. Tetapi pada saat-saat terakhir, Aniq Kamal datang menghadang, menyebabkan bola terbias tinggi yang kemudiannya diselamatkan oleh Sulaiman Ramlan.

Masuk separuh masa kedua, KRU membuat pertukaran taktikal. Dengan memasukkan seorang lagi penyerang veteran, Nahrul Hayat, KRU bertukar dari sistem 4-3-3 kepada 4-4-2. Pertukaran ini nyata membuahkan hasil apabila Nahrul Hayat berjaya menyambut hantaran lintang Suhaili Rahman dari kanan pada minit 60′ untuk menjaringkan gol pembukaan perlawanan.

Nahrul menjelmakan bahaya sekali lagi buat pertahanan AZS kira-kira 3 minit selepas golnya. berpunca daripada larian kencang Huzaini Ikhram di sebelah kiri, Nahrul bagaimanapun gagal menyambut hantaran lintang Huzaini yang terlalu tinggi buatnya.

AZS perlu berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Faiz Ismail yang berkali-kali menyelamatkan percubaan-percubaan bahaya KRU. Apatah lagi bila Phillip Abbah berkali-kali gagal menyudahkan peluang demi peluang yang terhidang sepanjang perlawanan.

Penyerang Kajang AZS FC, Phillip Abbah mengharungi hari malang di depan gol ketika perlawanan separuh akhir Selangor Champions League 2018 menentang KRU Port Klang. (Foto: Rushdie Salleh / asiana.my)

Pada minut 75′, AZS membuat satu lagi siri serangan. Kali ini ia dicipta oleh Phillip Abbah di sebelah kiri. Serangan ini menghasilkan dua percubaan cantik. Bagaimanapun ia dinafikan oleh pertahanan KRU yang teguh bertahan mempertahankan pendahuluan 1 gol mereka.

Apabila sepakan percuma cantik Faizal Rahman sekadar singgah ke palang gol KRU pada minit 89′, ia seolah-olah melengkapkan malam malang AZS. Mereka sudah melakukan yang terbaik. Tetapi tanpa nasib di sisi mereka, AZS terus kempunan.

Pemain terbaik perlawanan: Sulaiman Ramlan (KRU Port Klang)

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!