Skuad Harimau Malaya telah pun diuji sebalik sahaja tiba di Bangkok dari Kuala Lumpur semalam apabila mendapati padang latihan yang disediakan pihak tuan rumah di Stadium Insi Chantharasthit tidak begitu memuaskan dan berlopak di beberapa tempat.
Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mengakui kecewa dengan keadaan padang latihan tersebut kerana bimbang ia boleh mendatangkan kecederaan kepada para pemain.
Malah, situasi itu pernah dilalui Cheng Hoe ketika menjadi pembantu Dato Rajagobal dalam kempen Piala AFF tahun 2012 apabila mereka terpaksa berlatih di ‘padang sawah padi’ yang mempunyai kolam kecil.
“Kami tahu ini bukan latihan rasmi tetapi hanya satu sesi latihan ringan. Kami berharap setiap kali beraksi di tempat lawan, kami disediakan padang latihan yang elok kerana tidak mahu pemain menerima kecederaan.
“Apa yang penting, saya mahu pemain menikmati suasana latihan,” kata Cheng Hoe seperti dipetik dalam Stadium Astro.
Kecederaan 3 tonggak utama tunjuk perkembangan positif
Sementara itu, sesi latihan skuad Harimau Malaya semalam tidak disertai oleh dua pemain utama iaitu Syazwan Andik dan Aidil Zafuan Abdul Radzak kerana melakukan proses pemulihan kecederaan.
Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh pula difahamkan semakin pulih daripada kecederaan paha dan kemungkinan akan diturunkan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF pada hari esok.
“Saya harap Syazwan segera pulih. Aidil mengalami sedikit masalah di bahagian kaki tetapi pemain lain tampak cukup bertenaga,” jelas Cheng Hoe.
Malaysia terikat tanpa jaringan dengan Thailand ketika aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil sabtu lepas. Aksi di Stadium Rajamangala akan menjadi penentu slot perlawanan akhir dan bakal bertemu sama ada Vietnam atau Filipina.