Quantcast

BERITA

Farizal Harun Bakal Sarung Jersi Penjaga Gol Selangor Musim Depan?

Ketua jurulatih baharu Selangor, B. Satiananthan mengakui pasukannya memerlukan khidmat seorang penjaga gol berpengalaman untuk menggantikan tempat Norazlan Razali yang tidak disambung kontrak musim depan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama penjaga gol yang sedang dipancing oleh Selangor itu dan hanya akan mengumumkan selepas selesai sesi tandatangani kontrak.

“Saya kena ada seorang penjaga gol berpengalaman, sekarang kita ada Khairul Azhan Khalid, ia tidak cukup kerana jika apa-apa terjadi kepada dia, siapa yang akan ganti?

“Kita ada seorang lagi penjaga gol, Haziq (Ridwan) tapi dia terlalu muda. Saya mahukan penjaga gol berpengalaman yang boleh bersaing,” katanya kepada Berita Harian.

Khabar angin bertiup kencang mengatakan bekas penjaga gol FELDA United, Farizal Harun bakal menyarung jersi penjaga gol skuad gergasi merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Malah, laporan akhbar dari Berita Harian semalam turut mengesahkan bekas penjaga gol skuad kebangsaan itu telah dilamar oleh pasukan dari lembah klang.

Farizal lega khidmatnya masih diperlukan

Farizal Harun mengakui bersyukur dan menarik nafas lega sambil mengesahkan khidmatnya bakal ditagih sebuah pasukan berpengalaman yang beraksi dalam saingan Liga Super.

“Sebaik FELDA United mengumumkan saya tidak bersama kelab itu musim 2019, ia amat mengejutkan dan sedikit melunturkan keyakinan saya yang terpaksa mencari haluan baru.

“Namun, saya bersyukur apabila ditawarkan dengan pasukan berpengalaman untuk meneruskan aksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan terutama kembali beraksi di Liga Super.

“Buat masa ini, saya hanya menunggu untuk menandatangani kontrak dan sedia mempamerkan persembahan terbaik bersama pasukan baru,” katanya.

Musim ini, Farizal beraksi cemerlang bersama FELDA United selepas membantu kelab itu menjuarai Liga Perdana sekali gus layak beraksi di Liga Super.

Farizal memulakan karier sebagai pemain profesional bersama Negeri Sembilan dari 2007 hingga 2011 diikuti Angkatan Tentera Malaysia (2012–2013) dan FELDA (2014-2018).

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!