Skuad negara mengukirkan senyuman buat jutaan peminat bola sepak Malaysia apabila berjaya menumpaskan Myanmar 3-0 pada perlawanan kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong yang memenuhi segenap ruang stadium jelas menjadi tonik berguna buat anak buah Tan Cheng Ho pada malam ini.
Keazaman para pemain skuad negara untuk menghadiahkan kemenangan buat para penyokong terbukti apabila mereka mengawal permainan dengan baik sejak awal permainan dalam usaha memburu jaringan.
Penguasaan tersebut bagaimanapun masih belum mampu untuk menembusi dengan mudah jentera pertahanan Myanmar.
Dalam keghairahan skuad negara mencipta gerakan, Myanmar hampir menghukum skuad negara pada minit ke-16 menerusi serangan pantas yang diilhamkan Si Thu Aung.
Thu Aung yang melakukan larian solo ke arah gawang negara melakukan hantaran kepada Maung Maung Soe yang tidak dikawal pertahanan negara di dalam kawasan penalti.
Rembatan yang dilepaskan pemain berusia 23 tahun itu bagaimanapun berjaya dihalang Shahrul Saad untuk menyelamatkan pintu gol Malaysia.
Norshahrul Idlan Talaha menjadikan keadaan stadium gegak-gempita apabila pemain yang mesra dengan panggilan ‘Matyo’ itu berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-26.
Jaringan yang ditunggu-tunggu itu menjelma setelah Norshahrul menolak dengan mudah bola susulan percubaan akrobatik yang terkena palang diledakkan Mohamadou Sumareh.
Skuad negara sekali lagi mencemaskan pintu gol Myanmar yang dikawal Kyaw Zin Htet berselang lima minit kemudian menerusi tandukan Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak hasil hantaran lintang dari Syahmi Safari.
Tandukan ketua pasukan itu bagaimanapun ditangkap dengan kemas Zin Htet bagi menghalang gawangnya dari terus dibolosi.
Kelalaian pertahanan skuad negara pada minit ke-43 hampir memakan diri selepas serangan dari sebelah kiri pintu gol yang dilancarkan Myanmar memberikan peluang buat Aung Thu ketika beliau hanya berhadapan Farizal Marlias.
Keadaan berbahaya tersebut berjaya dinafikan Farizal yang cemerlang menepis rembatan dilepaskan Aung Thu bagi menafikan peluang terbaik dimiliki Myanmar itu.
Ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung babak pertama, Soe Moe Kyaw melakukan kekasaran dalam kawasan penalti terhadap Safawi Rasid untuk pengadil perlawanan, Faghani Alireza menghadiahkan sepakan penalti buat Malaysia.
Zaquan Adha yang mengambil sepakan tidak melepaskan peluang terhidang untuk menjadikan kedudukan 2-0 sebelum masuk ke bilik persalinan.
Perlawanan bersambung menyaksikan skuad negara terus memberikan tekanan dengan beberapa siri serangan yang mengancam kubu Myanmar.
Antara peluang menarik yang tercipta adalah pada minit ke-67 menerusi hantaran lintang yang dilakukan Mohamed Syamer Kutty Abba.
Hantaran tersebut berjaya ditepis Zin Htet dan bola terus jatuh ke kaki Sumareh yang kemudiannya melepaskan percubaan ke arah pintu gol Myanmar. Namun, Zin Htet lebih tangkas menafikan percubaan itu.
Usaha keras yang dilancarkan anak buah Antoine John Paul Hey juga kadangkala memberikan ancaman buat skuad negara tetapi Farizal Marlias dan ‘back four’ yang beraksi pada malam ini bertahan dengan begitu baik dalam menyerap asakan yang mendatang.
Zaquan Adha melenyapkan terus semangat juang pemain Myanmar bagi bangkit memburu jaringan apabila cubaan pertahanan untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya terkena beliau untuk gol ketiga perlawanan pada minit ke-88.
Kemenangan 3-0 ini memberikan makna yang signifikan apabila skuad negara berjaya melunaskan dendam apabila dikecewakan lawan yang sama pada peringkat kumpulan dalam Piala AFF Suzuki 2016 yang mengakibatkan skuad negara tersingkir awal.
Kredit foto: FAM