Piala AFC: Mengapa Paulo Josue Perlu Diberi Perhatian Pada Aksi Final Ini?

Setelah melalui pelbagai kesukaran dalam saingan AFC musim ini, akhirnya pentas penentuan bakal berlangsung pada malam ini dengan pertemuan antara Kuala Lumpur City (KL City) menentang wakil dari Oman, Al Seeb.

Persaingan yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu dilihat sebagai tugas paling getir bakal dihadapi oleh anak-anak buah Bojan Hodak dalam misi untuk melakar kejutan pada tahun ini.

Walaupun begitu KL City dilihat tampil dengan prestasi sedikit membimbangkan pada aksi-aksi terakhir Liga Super sebelum itu menerusi dua kekalahan yang dicatat.

Al Seeb pula lebih bernasib baik pada perlawanan terakhir dalam saingan liga di Oman, apabila merekodkan keputusan seri ketika berdepan Oman Club.

Namun, KL City tetap dilihat mempunyai peluang cerah untuk melakar sesuatu pada perlawanan malam ini, menerusi barisan pemain mereka yang bakal dipilih dalam senarai kesebelasan utama untuk mengharumkan nama kelab dan negara.

Berikut merupakan tiga pemain tumpuan KL City yang dijangka bakal memberi impak terbaik untuk menghadapi cabaran lawan di SNBJ.

Paulo Josue

Kapten KL City ini boleh dikatakan sangat memukau aksi beliau pada saingan Piala AFC ini menerusi sumbangan gol serta kualiti permainan ditampilkan.

Kebolehan Josue tidak perlu lagi dipertikaikan, apabila beliau jelas konsisten sejak beberapa musim ini bersama KL City dan boleh dianggap pemain kesayangan para penyokong.

Josue memiliki kelebihan yang sangat baik menerusi situasi sepakan percuma, mengawal tempo permainan, serta bijak membuat umpanan untuk pemain serangan.

Pasukan lawan pastinya akan memberi perhatian lebih kepada pemain ini berdasarkan rekod jaringan KL City kebanyakan bermula daripada pemain itu sendiri.

Akram Mahinan

Walaupun ada segelintir penyokong tempatan yang mempertikaikan aksi Akram sebelum ini dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), pemain itu bangkit untuk membuktikannya masih lagi relevan.

Akram merupakan salah seorang pemain kunci buat Bojan Hodak dalam kesebelasan utama berdasarkan kelebihannya yang bijak mengkucar-kacirkan penguasaan tengah lawan.

Pemain ini mungkin kurang dari segi sudut kreativiti di tengah, namun Akram mampu menawarkan rentak pertahanan yang sangat berdisiplin untuk menyukarkan lawan mencipta sesuatu di bahagian tersebut.

Giancarlo Gallifuoco

Salah seorang pemain import paling bernilai pernah dimiliki KL City berdasarkan aksinya yang sangat konsisten sejak menyertai pasukan tersebut pada musim lalu.

Memiliki kualiti bacaan bola yang baik serta bergandingan dengan positif bersama Irfan Zakaria dalam membentuk kombinasi pertahanan mantap KL City, menjadikan Giancarlo sangat cemerlang ketika ini.

Giancarlo juga sentiasa diharapkan dalam mencabar bol di udara serta mampu meledak gol penting ketika situasi sepakan percuma menjadi milik KL City.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN