Jaringan kemenangan daripada Hazwan Bakri hasil hantaran daripada Natxo Insa sudah cukup untuk memastikan juara liga super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengutip 3 mata penuh setelah menang 2-1 ke atas Tampines Rovers di Stadium Larkin semalam.
Kemenangan ini menyaksikan JDT mengutip 7 mata selepas 4 perlawanan. 3 pasukan berkongsi 7 mata dalam kumpulan H iaitu JDT, Persija dan Song Lam Nghe An. Jadi baki 2 perlawanan selepas ini sangat penting untuk mereka.
Pengendali skuad Harimau Selatan, Raul Longhi lega kerana para pemainnya memberikan aksi terbaik dan tidak putus asa mencari gol kemenangan setelah Tampines Rovers berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan penalti Khairul Amri.
“Saya dapat melihat pada separuh masa pertama iaitu ketika 25 minit yang pertama, para pemain telah memberikan aksi permainan yang sangat hebat. Saya sangat gembira dengan cara permainan mereka dalam perlawanan ini.
“Namun, apabila pasukan Tampines Rovers berjaya menjaringkan gol mereka pada minit ke-44, perlawanan mula menjadi semakin sukar buat kami. Melalui pemerhatian saya, kami mempunyai dua hingga tiga peluang untuk jaringan gol. Namun apa yang paling penting adalah kami cuba untuk memenangi perlawanan pada malam ini,” katanya.
JDT menguasai babak pertama dan mendahului menerusi Safawi Rasid pada minit ke-13. Satu rembatan deras menggunakan kekura kaki yang tidak mampu ditampan penjaga gol lawan.
“Kesemua pemain telah bermain sehabis baik dan menjalankan tanggungjawab masing-masing ketika di atas padang. Tiga mata adalah amat penting bagi kami. Kami menukar formasi perlawanan daripada 4-3-3 pada separuh masa pertama kepada 4-2-3-1 pada separuh masa kedua.
“Kami terpaksa menukar corak permainan kami kerana kami mempunyai satu lagi perlawanan yang penting dalam masa 72 jam sahaja lagi,” jelasnya.
Selepas ini skuad JDT akan menentang Uitm FC dalam perlawanan pusingan ketiga Shopee Piala FA Malaysia 2018 di Stadium Uitm Shah Alam pada hari Sabtu ini.
“Saya tidak mahu memperkatakan mengenai perlawanan AFC yang akan datang kerana bagi saya apa yang paling penting adalah perlawanan bertemu pasukan UiTM selepas ini. Buat masa sekarang, beberapa pemain perlu menjalani proses pemulihan untuk persiapan perlawanan bertemu pasukan UiTM,” ujarnya.