Tan Cheng Hoe Pertahankan Barisan Pemain Pilihannya

Kelmarin senarai 29 pemain telah dipilih oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Ahad ini, 18 Mac 2018 bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” bertemu Mongolia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis, 22 Mac 2018 dan perlawanan terakhir Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lebanon di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut pada Selasa, 27 Mac 2018.

Ini merupakan panggilan latihan pusat sulung skuad kebangsaan di bawah kendalian Cheng Hoe yang secara rasmi dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih kebangsaan yang baharu pada 7 Disember 2017 bagi menggantikan Nelo Vingada dari Portugal yang telah meletak jawatan pada 6 Disember 2017.

Daripada senarai di atas, hanya 14 pemain telah dikekalkan daripada skuad 23 pemain Harimau Malaya ke Buriram, Thailand bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram pada 10 dan 13 November 2017 yang mana kedua-dua perlawanan tersebut berkesudahan skuad Harimau Malaya tewas 4-1.

Sembilan pemain yang digugurkan terdiri daripada dua penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan dan Khairulazhan Khalid serta Shahrom Kalam, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan Aznan, Ahmad Khairil Anuar Zamri, Hadin Azman serta Syamer Kutty Abba.

Bagi melengkapkan senarai 29 pemain kali ini, Cheng Hoe telah menamakan 15 pemain baharu antaranya dua pemain berdarah campuran dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Natxo Insa dan La’Vere Corbin-Ong, pemain Kedah, Ariff Farhan Md Isa serta kapten Sabah, Rawilson Batuil.

Senarai pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Mengulas mengenai pemilihan pemain itu, Cheng Hoe menjelaskan kepada Berita Harian, skuad ini merupakan bayangan kepada skuad Piala AFF yang akan diadakan pada hujung tahun ini.

“Pasukan ini bayangan kepada skuad yang akan beraksi pada Piala AFF, namun akan ada beberapa perubahan yang dilakukan selepas ini.

“Walaupun agak ramai pemain muda namun mereka sudah memiliki pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa. Ada yang pernah beraksi di peringkat B-23, jadi saya melihat kekurangan pengalaman tidak seharusnya menjadi masalah,” katanya.

Turut tersenarai, sembilan pemain dari skuad B-23 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee yang berjaya mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China, Januari lalu iaitu penjaga gol, Haziq Nadzli, Akhyar Rashid, Syazwan Andik Ishak, Irfan Zakaria, Matthew Davies, Syahmi Safari, Safawi Rasid, Nor Azam Abdul Azih dan kapten, Adam Nor Azlin.

Sebahagian daripada skuad malaysia B-23 yang beraksid di kejohanan AFC B-23. FOTO: FAM

Safawi, Nor Azam dan Adam Nor bagaimanapun merupakan sebahagian pemain yang dikekalkan daripada senarai 23 pemain ke Buriram, November lalu.

“Kalau anda lihat di Eropah, pemain B-23 mereka turut beraksi dalam skuad senior dan saya percaya pemain muda kita mampu untuk menyaingi pemain senior,” katanya.

Lima lagi pemain baharu terdiri daripada mereka yang pernah dipanggil ke kem skuad kebangsaan sebelum ini iaitu penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, pemain tengah Kedah, Akram Mahinan, pemain PKNS FC, Mahalli Jasuli, pemain pertahanan Perak, Shahrul Saad serta penyerang JDT, Darren Lok.

Selepas aksi bertemu Mongolia, skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Beirut pada Ahad, 25 Mac 2018.

Kumpulan B saingan kelayakan selepas lima perlawanan menyaksikan Lebanon di tangga teratas dengan 13 mata, Korea Utara di tangga kedua dengan 8 mata diikuti Hong Kong ketiga dengan 5 mata manakala Malaysia yang sudah pun tersingkir daripada perebutan dua tempat teratas layak ke pusingan akhir di tangga keempat dengan 1 mata.

“Kita sudah tidak layak ke Piala Asia namun sebagai jurulatih, saya juga tidak mahu tewas di tangan Lubnan. Sangat penting kepada pemain baharu untuk menunjukkan persembahan yang positif,” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN