Phillipe Coutinho Tiba Di Munich, Adidas Umum No.10 Untuk Beliau

Philippe Coutinho dan nombor jersi diumumkan awal – adalah perkara yang sudah biasa. Dahulu, Nike melakukan kesilapan dengan memuat naik nombor Coutinho dengan jersi Barcelona ketika pemain itu masih di Liverpool.

Perkara itu membuatkan Liverpool sangat marah.

Kali ini Adidas pula membocorkan lebih awal nombor jersi Coutinho ke Bayern Munich. Namun Adidas jelas sekali lebih tenang dan mendapat restu buat masa ini.

Adidas memuat naik di Instagram mereka menyatakan Coutinho akan memakai jersi no.10. Jersi yang dikosongkan oleh Arjen Robben. Namun kiriman itu dipadamkan semula.

Ketika artikel ini dihasilkan, kami tidak pula mendengar Barcelona marah dengan perkara ini. Hal ini kerana, Barcelona memang mahu melepaskan Phillipe Coutinho dalam jendela perpindahan kali ini.

Coutinho ke Bayern Munich

Saga perpindahan Coutinho kali ini menjadi rumit. Pemain itu dikatakan tidak mahu menjadi sebahagian daripada perjanjian Neymar. Barcelona sedang berusaha untuk membawa pulang Neymar dari PSG.

Ejen kepada Phillipe Coutinho mengakui ada beberapa tawaran daripada kelab EPL. Spurs dan Arsenal antara yang berminat dengan Coutinho.

Coutinho menolak tawaran oleh Spurs. Namun Kia Joorabchain – ejen beliau – merupakan peminat Arsenal dan cuba memujuk pemain itu ke Arsenal.

Kia mengakui amat sukar untuk memujuk Coutinho menyertai kelab Inggeris yang lain kerana pemain itu menghormati Liverpool. Arsenal berminat dengan pemain seperti Coutinho namun keutamaan mereka ketika itu adalah pertahanan.

Kini pilihan terbaik adalah Bayern Munich. Bayern sebelum ini mengintai khidmat Leroy Sane, namun pemain itu cedera panjang.

Bayern kemudian menjadikan Coutinho sebagai pilihan. Hassan Salihamidizic (Pengerusi Bayern) sendiri mengesahkan kepada Goal bahawa beliau sudah pergi ke Barcelona untuk membincangkan perpindahan pemain.

Laporan oleh salah satu sumber boleh dipercayai untuk bola sepak Jerman, Christian Falk menyatakan perbincangan antara Bayern dan Barcelona melibatkan pinjaman bernilai €20 juta semusim dengan opsyen untuk pembelian tetap bernilai €120 juta.

Bayern juga setuju membayar gaji Coutinho bernilai €13 juta semusim – angka yang sama dengan kontrak di Barcelona. Ini menjadikan Coutinho sebagai pemain bergaji paling tinggi di dalam pasukan Bayern.

Semalam juga, Sky Sports menayangkan klip video ketibaan Phillipe Coutinho di Munich. Beliau akan berbincang dengan Bayern tentang beberapa terma peribadi dan dijangka akan menjalani pemeriksaan medikal dalam tempoh 48 jam.

Coutinho menyertai Barcelona dari Liverpool pada Januari 2018 dengan nilai €142 juta. Beliau ketika itu mendesak perpindahan itu yang disifatkannya sebagai perpindahan impian. Ini kerana beliau sudah lama berimpian mahu menyarung jersi Barcelona.

Namun sejak menyertai kelab gergasi Sepanyol itu, Coutinho gagal memberikan impak. Kesannya, Coutinho disenaraikan oleh Barcelona sebagai pemain untuk dibida dalam jendela perpindahan kali ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN