Liverpool bakal membuka tirai aksi Liga Perdana Inggeris 2017-18 menentang Watford di gelanggang lawan tanpa khidmat Philippe Coutinho dan Daniel Sturridge yang masih dibelenggu kecederaan.
Kedua-dua pemain tersebut tidak menjalani latihan bersama pasukan di Melwood semalam dan hampir pasti tidak akan disenaraikan pada perlawanan di Vicarage Road esok.
Bintang Brazil itu telah menjalani rawatan masalah tulang belakang dan kelihatan berada di pusat latihan Reds tetapi tidak menyertai rakan-rakannya untuk latihan, sebaliknya beliau melakukan pemeriksaan dengan kakitangan perubatan pasukan.
Liverpool telah menolak tawaran £ 90.4 juta dari Barcelona pada hari Rabu dan tetap berkeras bahawa pemain tengah itu tidak akan dijual pada sebarang harga sekalipun.
Daniel Sturridge pula kini bersama pasukan pemulihan setelah mengalami kecederaan paha pada perlawanan Audi Cup ketika menang bertemu Bayern Munich.
Sementara itu dalam perkembangan lain di kem Liverpool, Nathaniel Clyne yang terlepas aksi pra-musim juga terpaksa diketepikan pada perlawanan menentang Watford. Trent Alexander-Arnold dijangka bermula di sebelah kanan.
Namun kehadiran semula ketua pasukan, Jordan Henderson yang sudah pulih dari serangan virus memberikan pengkhabaran gembira buat Jurgen Kloop.
Pemain baru Liverpool iaitu Mohamed Salah, Dominic Solanke dan Andy Robertson juga diharapkan dapat melakukan debut pada perlawanan sulung itu.
Sumber :
Mirror UK (2017) – http://www.mirror.co.uk/sport/football/news/philippe-coutinho-daniel-sturridge-set-10967958