PFAM Terus Terima Aduan Masalah Pembayaran Gaji Pemain

Liga Malaysia sudah pun melabuhkan tirainya pada musim ini, para pemain mungkin masih bercuti, manakala pasukan mungkin sedang merangka persiapan bagi saingan musim hadapan. Namun begitu, PFAM masih lagi dalam ‘mood’ bekerja gear lima, memandangkan masih ramai lagi pemain yang tidak menerima gaji daripada majikannya.

Ini merupakan senario sama pada setiap hujung musim, semenjak PFAM ditubuhkan pada tahun 2014. Ternyata, senario ini masih merupakan ‘ulang siaran’, dan perkara ini bukanlah merupakan sesuatu yang perlu dianggap biasa, mahupun berjenaka sinis mengenainya.

Bagi musim 2018, jumlah pasukan yang tidak membayar gaji semakin bertambah, manakala anggaran jumlah tunggakan terkumpul semua pemain yang dilaporkan kepada PFAM sudah mencecah hampir RM4 juta. Angka ini mencerminkan betapa rendahnya nilai profesionalisme pasukan – yang walaupun pasukan mungkin mempunyai alasan tersendiri, namun perlu dipersetujui ia berpunca daripada sebuah urustadbir yang lemah, tidak berpandangan jauh dan paling menyedihkan, tidak mengukur baju di badan sendiri.

Masakan tidak, tunggakan yang terjadi bukan hanya satu atau dua bulan, namun ada yang berjumlah sebanyak 8 bulan – dan jika mengikut tempoh perjalanan liga, ini bermakna pemain tidak menerima gaji sepanjang musim. Bayangkan, anda bekerja dan tidak menerima gaji, pada masa yang sama anda juga mempunyai komitmen untuk dilunaskan, pada masa yang sama juga, anda perlu terus patuh kepada arahan pasukan dan boleh dikenakan denda jika mengingkarinya. Ini sememangnya merupakan suatu penganiayaan, dan dalam diam saya boleh katakan, inilah sebuah ‘Penghambaan Moden’, dan lebih malang, kita seakan bersetuju dengan situasi ini.

Di pihak PFAM, kami sudah pun melakukan segala gerak kerja yang berada di dalam lingkungan tugasan kami. Kami juga sudah mengikut segala prosedur yang ditetapkan dalam membuat tuntutan terhadap tunggakan gaji para pemain. Namun begitu, sekalipun segala proses telah diikuti, malah ada juga yang sudah pun mendapat keputusan daripada pihak FAM, malangnya, pasukan seperti tidak mengendahkan langsung arahan yang diberikan oleh FAM. Lantas membuatkan kami di PFAM kembali mempersoalkan, sejauh mana berkesannya undang-undang bolasepak negara, khususnya dalam menjadi perisai bagi hak dan kebajikan para pemain.

Saya kesal, pasukan-pasukan seperti DBKL FC, Kuantan FA, Terengganu City dan Kelantan masih berdegil sekalipun sudah mendapat arahan FAM. Saya juga berharap pasukan Perlis dan Pulau Pinang, berpegang kepada janji untuk melangsaikan hutang sepertimana yang dipersetujui dan bukan sekadar gimik bagi membolehkan mereka beraksi di saingan musim hadapan. Manakala pasukan-pasukan yang sudah ‘tiada’ seperti Marcerra United dan Hanelang, pengurusannya digesa untuk tampil dan bertanggungjawablah dalam menyelesaikan masalah yang kalian mulakan. Selain itu, terdapat juga pasukan-pasukan lain yang turut mempunyai tunggakan gaji, namun atas dasar etika kerana kes masih belum lagi diputuskan oleh FAM, maka kami tidak menyebutnya. Pun begitu, kami juga menggesa agar pasukan-pasukan ini melunaskan tunggakan tanpa perlu menunggu kes diputuskan oleh FAM.

Perkara yang saya gelar ‘buying time’ turut wujud dalam kalangan pasukan. Mereka tahu, proses di FAM akan mengambil masa, maka pasukan bertindak sengaja melengahkan bayaran tunggakan, dan memanipulasikan proses tersebut, sekaligus terus menekan dan menyeksa pemain. Saya juga menyeru agar FAM mengambil serius akan hal ini, kurangkan karenah birokrasi, perbetulkan prosedur yang boleh membuka ruang untuk pasukan ‘membeli masa’, dan mengambil tindakan yang benar-benar tegas terhadap pasukan yang masih ingkar. Ini sangat kritikal dan amat memerlukan reformasi segera.

Akhir sekali, kami di PFAM sememangnya memandang serius akan hal ini. Isu tunggakan gaji adalah isu fundamental, dan sekiranya kita masih bergelut dalam relung permasalahan ini, bolesepak kita hanya berwajah baharu, bukannya berjiwa baharu. Pasukan-pasukan ini WAJIB membersihkan ‘kotoran’ mereka sebelum bermulanya saingan musim hadapan, dan sekiranya mereka masih dibenarkan bertanding sekalipun ‘kotoran’ ini tidak dibersihkan, pada kami di PFAM, ini adalah sebuah malapetaka buat dunia bolasepak negara.

Yang akan terus berjuang,
Izham Ismail.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN