Isu tunggakan gaji dan pembatalan penyertaan pasukan Perlis dalam saingan Liga Premier 2019 mencuri tumpuan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Situasi tersebut menyebabkan beberapa pemain Perlis kini kehilangan periuk nasi mereka dan digantung tidak bertali sehingga mendapat perhatian daripada Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia (PFAM) yang melancarkan solidariti untuk para pemain skuad singa utara.
“Berhubung kenyataan MFL berkenaan penyingkiran Pasukan Perlis FA dari saingan Liga Malaysia, PFAM merasakan ini merupakan sebuah lagi kegagalan pengurusan bolasepak pasukan tempatan yang sekaligus menunjukkan tahap profesionalisme yang amat mengecewakan dan PFAM menghargai ketegasan dan komitmen MFL untuk memastikan pasukan sentiasa mengikut peraturan dan bersikap profesional dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan hak dan kebajikan pemain.
“Sepertimana semua sedia maklum, pihak pengurusan Perlis FA telah beberapa kali diberi peluang oleh pihak FAM dan MFL, dan diberikan masa sepertimana yang dipersetujui, demi memastikan urusan pasukan berjalan lancar bagi saingan musim 2019.
“Pada awalnya, PFAM turut melihat perkara ini secara positif memandangkan ia turut memberi faedah kepada para pemain terutamanya dalam aspek kelangsungan karier dan punca pendapatan.
“Namun begitu, setelah berlakunya situasi sebegini, ia amat mendukacitakan. Ini merupakan penganiayaan yang besar kepada pemain, dan PFAM menggesa agar pihak pengurusan Perlis FA bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini,” kata kenyataan daripada PFAM di laman facebook rasmi mereka.
PFAM juga memberikan sokongan penuh kepada MFL dan menyifatkan badan pengendali Liga Malaysia itu membuat keputusan yang betul setelah meneliti beberapa perkara termasuk dokumen penting.
“Perlu diingat, tindakan yang diambil oleh MFL ini bukanlah dibuat secara serta-merta, tetapi dibuat setelah memberikan beberapa siri peluang, dan juga setelah meneliti setiap dokumen yang dilampirkan.
“Ini bermakna, secara profesionalnya, pengurusan Perlis FA telah gagal melaksanakan apa yang mereka sendiri janjikan. PFAM mahukan agar hak dan kebajikan pemain-pemain Perlis terjaga dan dibela. Sehubungan itu, pengurusan Perlis FA perlu tampil dan menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” tegas mereka.
MFL kelmarin mengumumkan mereka bersetuju melanjutkan tempoh perdaftaran untuk pemain Perlis selama 30 hari bagi membolehkan mereka mencari pasukan baharu.
“PFAM ingin mengucapkan terima kasih kepada MFL kerana memberi tempoh selama seminggu untuk pihak Perlis FA mengemukakan rayuan.
“Oleh itu, PFAM berharap agar pihak Perlis FA memanfaatkan “talian hayat” dan membuktikan komitmen untuk menyelesaikan masalah ini bagi membolehkan nasib para pemain terus terbela dan tidak diabaikan.
“PFAM turut berterima kasih kepada MFL kerana meluluskan permohonan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran selama 30 hari kepada pemain-pemain Perlis bagi mendapatkan pasukan baharu.
“Walaupun begitu, PFAM masih menggesa agar pihak pengurusan Perlis FA tidak lepas tangan dalam menyelesaikan kemelut ini. Ini adalah tanggungjawab yang harus dilunaskan tanpa sebarang kompromi.
“Buat para pemain, PFAM sentiasa sedia bersama dalam perjuangan ini. PFAM sangat mengerti, para pemain sudah menjalankan tanggungjawab mereka sebaik-baiknya dan mengikut segala obligasi yang terkandung dalam kontrak profesional.
“Seluruh ahli PFAM akan terus senada demi memastikan pemain dihormati selayaknya. Inilah #SolidaritiUntukPemainPerlis!,” katanya di akhir kenyataan.