Quantcast

BERITA

AFF B-22: Misi Hidup Mati, Malaysia Ke Separuh Akhir Atau Pulang Ke Rumah?

Hari ini nasib skuad bawah 22 tahun Malaysia (B-22) akan ditentukan melalui aksi terakhir Kumpulan B menentang Myanmar. Ia merupakan misi hidup mati skuad negara dalam Kejohanan AFF B-22 bagi merebut slot separuh akhir bertemu Vietnam atau Thailand.

Justeru itu, pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee menuntut anak buahnya tampil dengan corak permainan sebenar dan menafikan peluang Myanmar ke peringkat seterusnya.

Kim Swee turut menarik nafas lega kerana perlawanan malam ini akan berlangsung di Stadium RSN dan pemain akan beraksi di atas padang rumput sebenar berbanding rumput tiruan. Ia dilihat sebagai satu kelebihan kerana rumput sebenar lebih sesuai dengan corak permainan Malaysia.

“Selama ini, kami berlatih di atas padang tiruan dan bermain di atas padang yang sama tetapi kami akan berubah kepada rumput biasa.

“Saya percaya situasi ini akan memberikan impak yang berbeza kepada kedua-dua pasukan dan saya percaya ia satu tanda positif. Pemain akan meraih permainan yang lebih baik,” katanya seperti dipetik dalam Stadium Astro.

Para pemain mendengar arahan Ong Kim Swee ketika sesi latihan semalam. FOTO: FAM

Kim Swee juga tidak mahu pemain terlalu memikirkan keputusan perlawanan Kemboja dan Indonesia sebaliknya fokus untuk mendapatkan kemenangan ke atas Myanmar.

“Penting untuk kami memikirkan tiga mata dan abaikan apa jua keputusan di antara Kemboja dan Indonesia. Kami perlu mendapatkan kemenangan.

“Saya harap apabila berakhir perlawanan esok, kami meraih sesuatu yang positif tetapi jika sebaliknya berlaku, ia akan memberi pengajaran berguna buat kami.” jelasnya.

Setelah mengharungi 2 perlawanan, Malaysia tewas 0-1 kepada Kemboja pada perlawanan pertama dan terikat 2-2 dengan Indonesia. Keputusan tersebut meletakkan skuad negara di kedudukan ketiga dengan 1 mata di belakang Kemboja (6 mata) dan Indonesia (2 mata).

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!