Saiful Amar Sudar bukanlah nama asing dalam kancah bola sepak tanah air. Penjaga gol berpengalaman tahun itu mula beraksi dalam di pentas profesional pada tahun 2003.
Beliau yang kini berusia 37 tahun pernah beraksi bersama beberapa pasukan seperti Kuala Lumpur, Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), Selangor, Sarawak, Kedah, PDRM, Perlis dan Negeri Sembilan menjadi pasukan terakhirnya pada musim lalu.
Namun, mungkin ramai yang tidak sedar bahawa beliau pada ketika ini sedang diuji apabila terdapat ketumbuhan tumor pada bahagian otaknya. Perkembangan terkini itu disahkan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
Dalam perkembangan yang sama, Saiful dikhabarkan telah menjalani pembedahan bagi membuang tumor tersebut pada minggu lalu.
Safee Sali yang merupakan Presiden PFAM bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Izham Ismail berkesempatan melawat Saiful Amar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada siang tadi.
Saiful Amar perlu menjalani rawatan susulan selama setahun dan kos rawatan tersebut dikatakan menelan perbelanjaan hampir RM 18,000. Ia pastinya satu jumlah yang cukup besar bagi beliau yang sudah tidak lagi mampu untuk beraksi akibat masalah kesihatannya itu.
Sehubungan dengan itu, pihak PFAM menyeru kepada peminat bola sepak tempatan yang prihatin untuk tampil membantu dalam usaha meringankan beban digalas Saiful Amar pada ketika ini.
Bagi anda yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh merujuk kepada poster yang tertera atau seperti informasi di bawah:
Nombor akaun: 7002817413 (CIMB) – Saiful Amar Sudar
Kredit foto: PFA Malaysia